Bintang tenis Georgia dituduh dera bekas isteri

TBILISI, 25 MEI – Bintang tenis Georgia, Nikoloz Basilashvili, yang menduduki tempat ke-27 di dunia, didakwa kelmarin atas kesalahan menyerang secara fizikal ke atas bekas isterinya, kata pendakwa raya.

Mahkamah di bandar Georgia Tbilisi menuduh Basilashvili melakukan ‘keganasan terhadap ahli keluarga yang dilakukan di hadapan anak di bawah umur’ sebelum membebaskannya dengan jaminan berjumlah AS$30,000, kata pendakwa Natia Guruli.

Dia akan berdepan hukuman penjara selama tiga tahun jika didapati bersalah. Bekas isteri Basilashvili, Neka Dorokashvili memberitahu semalam bahawa suaminya menyerang secara fizikal pada hari Jumaat di hadapan anak lelaki mereka yang berusia lima tahun.

Basilashvili membantah tuduhan itu, kata peguamnya Irma Chkadua kepada media. Pemain berusia 28 tahun itu memenangi gelaran ATP keduanya di Terbuka China pada 2018 dengan mengalahkan pemain nombor empat dunia, Juan Martin del Potro di perlawanan akhir, tiga bulan selepas memenangi Terbuka Jerman di Hamburg.

Dia terus mempertahankan gelaran Hamburg tahun lalu. Pada bulan Mei 2019, Basilashvili mencapai tahap kerjaya tertinggi apabila menjadi pemain nombor 16 terbaik di dunia. –AFP

Nikoloz Basilashvili pada perlawanan yang lalu. Basilashvili didakwa atas kesalahan menyerang secara fizikal ke atas bekas isterinya. – AP