Bintulu anjur sambutan Hari Sarawak

KUCHING, 12 JULAI – Buat pertama kalinya, sambutan Hari Sarawak tahun ini akan dianjurkan di luar Kuching dengan tujuh aktiviti menarik dan mengujakan bakal diadakan di Bintulu pada 20 hingga 22 Julai ini.

Menteri Utiliti Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata ia merupakan peluang yang baik buat penduduk di Bintulu dan mereka yang tinggal di kawasan berhampiran untuk menghadiri dan menyaksikan sambutan untuk memperingati hari istimewa di negeri ini.

“Persidangan Dewan Undangan Negeri yang pertama juga diadakan di sini, di Bintulu, jadi amatlah bermakna Bintulu menjadi hos untuk sambutan Hari Sarawak tahun ini.

“Saya juga menjemput mereka yang tinggal berdekatan Bintulu dan kawasan sekitarnya supaya mengambil peluang ini untuk hadir menyertai aktiviti yang disediakan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Acara menarik yang akan diadakan di sekitar Bintulu ialah Sarawak Day E-Sports 2019; Larian Hari Sarawak (21 km Larian Bintulu), Majlis Kesyukuran, Konsert Kamek Sayang Sarawak, Pameran dan Perhimpunan Hari Sarawak serta ‘Love Sarawak Through History’.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya mengibarkan bendera Sarawak di premis mereka sebagai tanda penghormatan kepada Hari Sarawak yang disambut sempena negeri ini mendapat pemerintahan sendiri daripada kerajaan British pada 22 Julai 1963. – Bernama