Friday, April 26, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Biotop air hitam cantik dan unik

    Oleh Raz AS

    Selain daripada sekadar memelihara ikan, antara lain yang menjadi kegemaran peminat ikan peliharaan adalah menghias akuarium mereka sama ada dengan tumbuhan hidup atau palsu, substrat, batu, kayu, perhiasan dan pelbagai lagi sama ada untuk mencantikkannya atau, meniru habitat asal atau biotop, ikan peliharaan mereka.

    Dalam pelbagai jenis biotop yang menjadi pilihan penggemar hobi akuarium, akuarium air hitam (blackwater) merupakan antara jenis biotop yang popular dan sedikit lebih mencabar berbanding biotop lainnya.

    Apakah yang dimaksudkan dengan akuarium atau biotop air hitam? Ia adalah akuarium yang mempunyai air berwarna gelap kehitaman seakan-akan air teh ‘o’ di mana kebanyakan tumbuhan tidak mampu tumbuh subur dan ikan di dalamnya hanya samar-samar kelihatan.

    Meskipun ia kedengaran tidak menarik namun hakikatnya kebanyakan ikan perhiasan yang popular, terutamanya yang ditangkap sendiri, berasal dari kawasan perairan yang berair gelap, lembut dan berasid.

    Biotop air hitam boleh menjadi projek yang mencabar tetapi ia juga boleh memberikan faedah kepada ikan peliharaan awda, seperti mengurangkan tahap stres ikan kerana ia rasa lebih selamat tanpa cahaya terang dan lebih terlindung, serta boleh menjadi faktor penting sekiranya awda cuba untuk membiakkan sesetengah jenis ikan peliharaan.

    Ikan Tetra kelihatan lebih terang dan berkilau di dalam akuarium biotop air hitam.
    Daun ketapang atau Indian Almond leaves selamat dan efektif digunakan untuk mengubah warna air akuarium awda.

    Langkah pertama untuk meniru biotop air hitam, awda perlulah mengetahui bagaimana air boleh bertukar menjadi gelap.

    Semasa awda bersiar-siar atau banyak meluangkan masa di luar pasti awda pernah melihat air yang kehitaman. Air kehitaman boleh ditemui di serata dunia, seperti di anak-anak sungai, paya, tasik, kolam mahupun parit terutamanya di kawasan beriklim tropika.

    Air-air ini berubah menjadi gelap disebabkan bahan organik terkumpul seperti daun, kayu dan buah yang jatuh ke dalam badan air dan mereput. Semasa proses mereput ini, bahan humik dan tanin daripada tumbuhan mati tersebut akan melarut ke dalam air, menukar warnanya sekali gus meningkatkan keasidan air tersebut.

    Terdapat lebih daripada 200 jenis spesies ikan air tawar yang menghuni kawasan air hitam, tetapi sebelum akuarium awda menjadi biotop air hitam buatlah kajian sebelum memilih ikan apa yang awda ingin masukkan ke dalam akuarium tersebut.

    Untuk akuarium air hitam substratnya lebih sesuai menggunakan batu-batu halus atau fine gravel berwarna natural atau gelap, manakala bagi pencahayaan pula tidak perlulah yang terlalu terang. Lampu LED berwarna white daylight menyenangkan awda untuk melihat ke dalam air yang berwarna seperti teh. Selain itu ia juga meniru warna cahaya matahari.

    Airnya pula perlulah sesuai dan rendah alkali, sekiranya menggunakan air paip, awda campurkan ia dengan air reverse osmosis untuk mencapai tahap yang dimahukan. Tahap asid (pH) air sekurang-kurangnya kurang daripada 8.

    Bagi sistem penapisan, jenis bergantung di belakang akuarium boleh memberikan pelbagai tahap pergerakan air yang awda mahukan, meskipun begitu jenis kanister juga bolehlah digunakan.

    Medianya pula, penapis mekanikal seperti span digunakan untuk menangkap serpihan kotoran atau debu, dan perlu ditukar atau dibasuh setiap bulan. Media karbon aktif juga digunakan hanya seminggu dalam masa sebulan. Media karbon ini akan mengurangkan sebahagian daripada bahan humik yang berkumpul di dalam air. Sekiranya air akuarium awda menjadi terlalu gelap gunakan lebih banyak media karbon untuk mengurangkan warna.

    Bagi perhiasan seperti kayu atau driftwood, pilih kayu yang tidak menaikkan tahap pH air, sementara sesetengah kayu akan mengeluarkan tanin ke dalam air menggelapkan lagi air akuarium awda. Manakala bagi pilihan batu, jangan gunakan batu yang dapat mengeluarkan kalsium atau alkali ke dalam air.

    Untuk mengubah warna air, jangan gunakan daun kering sembarangan yang ada di halaman rumah awda. Gunakanlah daun ketapang atau juga dikenali sebagai Indian Almond leaves yang kering.

    Daun ini selamat digunakan dan boleh mengubah warna air akuarium dengan efektif. Masukkan berapa lembar daun ketapang ke dalam akuarium dan ganti setiap satu ke dua bulan.

    Jika awda tidak mempunyai pengalaman atau tidak tahu mengenai tahap pH air, awda hanya perlu sentiasa mengekalkan tahap pH antara 6.5 hingga 7 serta gunakan air paip untuk menukar 20 peratus air akuarium sekurang-kurangnya tiga minggu sekali.

    Akuarium air hitam memberikan keseronokan dan cabaran kepada penggemar ikan peliharaan. Meskipun begitu, ikan-ikan tropika kesayangan awda pasti akan mengeluarkan warna dan kilauan terang yang tidak terlihat pada akuarium biasa.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Menteri India pengsan semasa berkempen kerana cuaca panas

    NEW DELHI, 25 APRIL - Seorang menteri India telah pengsan semasa berucap pada perhimpunan pilihan raya kerana cuaca panas ketika biro cuaca negara itu...