Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong B telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sebagai kemuncak bagi Program Membaca Al-Quran Satu Hari Dua Halaman (1H2H) Musim Kedua, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Mukim Sengkurong itu ialah Pengerusi Biro Wanita MPK Sengkurong B, Hajah Rukiah binti Haji Mohd Yassin yang turut mendahului bacaan Surah Al-Fatihah sebelum memulakan bacaan surah-surah lazim beramai-ramai.
Bacaan takhtim diketuai oleh Hajah Rahimah binti Abas; dan Doa Khatam Al-Quran pula dipimpin oleh Hajah Rosnah binti Haji Tamin diikuti dengan laungan dikir marhaban beramai-ramai.
Dengan majlis berkenaan, ia sememangnya dihasrat untuk sama-sama menyemai jiwa raga khususnya dalam kalangan ahli-ahli biro wanita agar terus menjadikan budaya membaca Al-Quran ini sebagai aktiviti dalam kehidupan seharian, selain memperbanyakkan amal ibadat menerusi pembacaan Al-Quran.