Bisa Ibrahimovic julang Milan ke puncak liga

MILAN, 23 NOV – Zlatan Ibrahimovic (gambar bawah)menjaringkan dua gol dan gol yang ke-10 di liga musim ini ketika AC Milan kekal di tangga teratas Serie A pada perlawanan semalam dengan kemenangan 3-1 menentang Napoli.

Milan melonjak dua mata di hadapan Sassuolo yang menang 2-0 menentang Hellas Verona dengan Roma berada di tempat ketiga setelah Henrikh Mkhitaryan turut menjaringkan gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Parma.

“Bagi saya Zlatan lebih kuat sekarang daripada 10-12 tahun yang lalu,” kata jurulatih Napoli, Gennaro Gattuso yang merupakan bekas rakan sepasukannya di Milan.

“Milan sangat percaya pada Ibra, rakan sepasukan mempercayainya 100 peratus.

“Pada pendapat saya, pasukan mereka bukan yang terkuat tetapi mereka mempunyai mentaliti.

“Kami bermain dengan baik tetapi kalah begitu sukar.”

Ibrahimovic meneruskan penampilan baiknya, menanduk masuk hantaran daripada Theo Hernandez selepas 20 minit perlawanan bermula dan menjaringkan gol kedua dengan lututnya sembilan minit selepas rehat.

Tetapi pemain berusia 39 tahun itu terpaksa diketepikan kerana mengalami masalah hamstring dan diganti selepas minit ke-79.

Pemain Sweden itu telah menjaringkan gol dalam enam perlawanan yang dimainkannya musim ini, setelah ketinggalan dua perlawanan kerana dijangkiti koronavirus.

Jurulatih Stefano Pioli terlepas perlawanan tersebut kerana positif COVID-19, tetapi pasukannya memperoleh kemenangan liga pertama mereka di Naples sejak Oktober 2010.
Dries Mertens menjaringkan gol untuk tuan rumah. Manakala Jens Petter Hauge melengkapkan kemenangan lima minit di masa kecederaan dan gol Serie A pertamanya. – AFP