Tuesday, December 3, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bisikan di hutan Labi

    Oleh Pemburu Misteri –

    Malam itu, aku dan empat orang sahabat, Shah, Amir, Faiz dan Laila, membuat keputusan gila untuk bermalam di kawasan hutan rekreasi Labi yang terletak jauh di pedalaman negara ini.

    Kawasan itu terkenal dengan alam semula jadinya yang masih terpelihara, namun ada kisah-kisah misteri yang sering menyelubungi tempat itu. Kami memberanikan diri juga, membawa khemah, makanan dan peralatan lain yang diperlukan.

    “Eh, banar kah ni kitani kan ke sana?” tanya Laila sambil memandang ke arah Shah yang memimpin kumpulan kami.

    “Bah, inda payah takut. Kan kitani di sini jua. Lagipun, kan mencabar diri ani,” balas Shah sambil ketawa kecil. Namun, ada getaran dalam suaranya yang tidak dapat aku abaikan.

    Keheningan malam menyelubungi perjalanan. Kami tiba sekitar jam tujuh malam, dengan langit yang mula kelam. Pokok-pokok besar di sekeliling memberikan bayang-bayang yang menyeramkan. Namun, kami menahan perasaan takut dan memasang khemah di tempat lapang.

    Foto Canva

    Api unggun dinyalakan dan kami berkumpul sambil bercerita. Mula-mula suasana tenang, namun tiba-tiba kami terdengar bunyi daun-daun berdesir, seperti ada sesuatu yang bergerak di sekitar kami. Semua terdiam.

    “Kamu dengar kah?” bisik Faiz sambil matanya meliar ke arah hutan.

    “Dengar apa?” Amir bertanya, cuba berlagak tenang, tetapi jelas kelihatan resah.

    “Sabar bah… mungkin angin saja,” kata Shah, cuba menenangkan, tetapi kami tahu ada sesuatu yang tidak kena.

    Tiba-tiba, terdengar suara halus, seakan berbisik di antara dedaun, “Jangan masuk sini…”

    Suara itu sangat dekat, tetapi suaranya bergaung dan aneh, seperti dari dunia lain.

    Serentak kami saling berpandangan, wajah masing-masing berkerut ketakutan. Tanpa bersuara, kami semua berdiri dan berkumpul lebih rapat.

    “Aku rasa inda selesa sudah ni,” kata Laila, nada suaranya bergetar. “Macam lain macam jua tempat ni, eh,” katanya.

    Shah cuba bertenang, “Bah, kalau kamu semua takut, kitani jalan saja pulang,” katanya, cuba tersenyum, tetapi kami tau dia juga cemas.

    Kami mula mengemaskan barang-barang untuk beredar. Namun, ketika kami melangkah ke arah jalan keluar, jalan itu tiba-tiba hilang dalam kabut tipis yang muncul entah dari mana. Pohon-pohon yang tadi tampak biasa kini seperti makhluk-makhluk besar yang merenung tajam.

    “Shah, arah mana jalan keluar ani?” aku bertanya, semakin panik.

    “Inda tau, eh! Tadi lurus saja… tapi…” Shah terdiam, pandangannya liar. “Macam inda sama tempatnya…”

    Kami terus berjalan tanpa bersuara, tetapi rasa ketakutan semakin kuat. Bunyi dedaun bergeseran semakin dekat, seakan-akan ada sesuatu yang mengikut kami. Tiba-tiba, Faiz terjatuh dan berteriak kesakitan.

    “Aduh! Ada sesuatu di kaki ku!” jeritnya. Ketika kami menyuluh lampu ke arah kakinya, kami terlihat kesan cakar kecil dan darah segar di kulitnya. Wajah Faiz pucat, dan kami tahu ada sesuatu yang tidak dapat dilihat sedang bermain dengan kami.

    “Bah, jangan tinggalkan Faiz. Jalan sama-sama,” kata Amir sambil membantu Faiz berdiri.

    Namun, suara itu kembali lagi, lebih dekat kali ini. “Jangan cuba lari… kamu semua milikku…” suara itu berbisik perlahan, tetapi jelas dalam malam yang sunyi.

    Kami saling berpandangan, takut dan kaku. Suara itu seakan datang dari semua arah, dan tiba-tiba kabut yang menyelubungi kami semakin tebal. Aku dapat merasakan bulu roma berdiri, dan udara semakin dingin.

    “Bah, jangan peduli. Jalan terus!” kata Shah sambil menggenggam tanganku dengan kuat. Aku merasa dia cuba menyembunyikan ketakutan, tetapi peluh sejuk di tangannya jelas menunjukkan dia juga resah.

    Kami terus berjalan dalam gelap, meraba-raba jalan yang kini penuh dengan akar-akar besar seperti tangan-tangan yang ingin menarik kami masuk ke dalam tanah. Langkah kami semakin berat, seolah-olah ada tenaga yang menyedut kekuatan kami sedikit demi sedikit.

    Tiba-tiba, Laila berhenti dan berbisik, “Bah, cuba kamu semua dengar… ada orang nangis kah?”

    Kami semua terdiam, mendengar dengan teliti. Benar, di kejauhan, terdengar tangisan perlahan yang sayu dan pilu, seolah-olah jiwa yang tersesat dalam kegelapan. Tangisan itu semakin kuat, dan kali ini jelas terdengar, “Bantu aku… tolong…”

    Dengan penuh ketakutan, kami cuba mengabaikan suara itu, tetapi hati kami berdebar.

    Tangisan dan suara bisikan itu seolah-olah datang dari alam lain yang kami tidak fahami.

    Rasa ingin tahu bercampur cemas menyesakkan dada kami.

    “Apa kami buat ani, Shah?” tanya Faiz, nadanya penuh ketakutan. Dia memandang Shah, seolah-olah menagih jawapan.

    Shah menggeleng kepala sambil berkata, “Aku inda tahu, Faiz… Tapi yang penting kita keluar dari sini.”

    Namun, saat kami melangkah lebih jauh, bayangan putih muncul dari antara pokok. Ia mempunyai susuk badan seorang perempuan dengan wajah samar-samar, rambutnya panjang menutupi wajah. Ia tidak bergerak, hanya berdiri memandang kami dengan kosong.

    “A…apa tu?” Laila bersuara gementar, tubuhnya mulai menggigil.

    Perempuan itu perlahan-lahan mengangkat tangannya, menunjukkan arah bertentangan dengan jalan yang kami tempuh. Seolah-olah ingin memberi petunjuk.

    “A… mungkin ia mahu membantu,” aku berkata, walaupun hati masih was-was.

    Dengan langkah ragu, kami mengikuti arah yang ditunjukkan bayangan itu. Langkah demi langkah, kami berjalan tanpa suara, merasakan kehadiran makhluk-makhluk tak terlihat yang mengawasi.

    Selepas berjalan beberapa lama, kami akhirnya melihat jalan keluar di depan mata. Cahaya dari jalan besar membuat hati kami lega, seakan-akan diselamatkan daripada mimpi ngeri.

    Ketika menoleh ke belakang, bayangan perempuan itu sudah tiada. Kami hanya berdiri di tepi hutan, merenung dalam kegelapan yang kini sunyi dan dingin.

    Sejak malam itu, kami semua berjanji untuk tidak lagi menjejakkan kaki ke hutan tersebut.

    Kejadian itu menjadi misteri yang terus menghantui kami, seolah-olah mengingatkan bahawa ada makhluk-makhluk di dunia lain yang harus dihormati dan hutan Labi bukanlah tempat untuk diterokai atau dijelajahi sembarangan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda