TOKYO, 11 Okt – Sebuah mahkamah di Jepun pada Rabu memerintahkan kerajaan negara itu membayar pampasan kepada penduduk yang tinggal berhampiran sebuah pangkalan tentera udara di pinggir Tokyo kerana gangguan bunyi bising pesawat, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan media tempatan.
Menurut laporan itu, meskipun Mahkamah Daerah Tachikawa menolak petisyen plaintif bagi menghentikan penerbangan beberapa pesawat, ia telah mengarahkan kerajaan Jepun membayar pampasan berjumlah 610 juta yen (AS$5.4 juta) kepada mereka.
Pampasan itu adalah bagi gangguan bunyi bising pada masa lalu dan diberikan kepada 1,000 plaintif yang tinggal berhampiran Pangkalan Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) di Yokota.
Pangkalan itu turut menempatkan beberapa pesawat milik Angkatan Pertahanan Udara Jepun (ASDF). Menurut saman itu, pada asalnya plaintif menuntut ganti rugi dalam bentuk bayaran bulanan sebanyak 22,000 yen bagi kerosakan akibat bunyi bising serta pembayaran pada masa depan bagi penderitaan berterusan akibat gangguan bunyi bising pesawat.
Mahkamah itu bagaimanapun menolak permohonan plaintif agar penerbangan pesawat AS dan ASDF dihentikan pada sebelah malam dan awal pagi.
Kerajaan Jepun membayar pampasan sebanyak 33.5 bilion yen kepada penduduk berhampiran beberapa pangkalan tentera sejak bertahun-tahun namun dalam kes membabitkan pangkalan udara Yokota, ia mendakwa beberapa langkah kalis bunyi yang dilakukan telah difaktorkan ke dalam tuntutan pampasan. – Bernama