Biskut ‘suri rumah tangga’ cetus kemarahan di Croatia

ZAGREB, 6 MEI – Kerja rumah harus dibahagikan secara adil: begitulah yang dipromosikan oleh sebuah syarikat Croatia dengan menambah gelaran kerja kepada nama biskut popular.

Sebaliknya, ia telah membangkitkan kemarahan di kalangan wanita negara itu.

Firma Kras telah mengeluarkan biskut dengan coklat di bahagian atas sejak 1957. Popular di Balkan, namanya tidak pernah menyinggung sesiapa, sehinggalah baru-baru ini.

Minggu lalu, pembeli-belah mendapati biskut itu, dikenali sebagai ‘Domacica’ (suri rumah tangga dalam bahasa Croatia), di rak pasar raya dengan nama lebih panjang yang termasuk jawatan kerja seperti ‘suri rumah tangga dan pengaturcara.’

Yang lainnya termasuk ‘suri rumah tangga dan pengurus’ atau “suri rumah tangga dan peguam.’

Menurut syarikat semalam, ia ingin memaparkan bahawa ‘wanita selain kerja mereka, juga sentiasa menjaga keluarga setiap hari.’

Ia merupakan satu kempen bertujuan menggalakkan semua ‘supaya berkongsi tanggungjawab dan kerja di rumah untuk memastikan pengagihan kerja rumah yang sama,” katanya dalam satu kenyataan kepada AFP.

Namun aktivis wanita berkata perubahan itu mencadangkan tempat wanita adalah di rumah, dan wanita hanya boleh melakukan kerja lain asalkan mereka juga suri rumah tangga. – AFP

Pek biskut jenama Domacica kelihatan di rak pasar raya di Zagreb pada 5 Mei 2022. – AFP