‘Bisnes keluarga’ edar dadah terbongkar

Gambar serahan BKN

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Dua pasangan suami isteri antara lima yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah telah diberkas oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) semasa serbuan dijalankan ke atas dua buah kereta berasingan di kawasan lapang letak kereta sebuah flat kerajaan, Kampung Sinarubai, baru-baru ini.

Hasil daripada serbuan itu dan pemeriksaan kediaman suspek di flat tersebut, beberapa paket plastik berisi pecahan dan ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu, dadah Kelas A, melebihi 1,200g turut ditemui yang dianggarkan mempunyai nilai pasaran melebihi $200,000. Menurut kenyataan BKN, suspek tiga lelaki dan dua perempuan itu berumur dalam lingkungan 25 ke 39 tahun, yang mana empat daripadanya adalah pasangan suami isteri.

Barangan lain turut dirampas ialah timbangan digital, gunting besi, straw serta paket-paket plastik kosong dan telefon bimbit yang mana kesemuanya dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah.

Turut dirampas sejumlah wang tunai dianggarkan melebihi $8,000, barang kemas dan kenderaan-kenderaan milik suspek yang dipercayai hasil daripada aktiviti pengedaran dadah.

Jumlah rampasan dadah signifikan itu juga dipercayai boleh disalahgunakan oleh ramai pengguna yang sudah setentunya mendatangkan impak negatif kepada masyarakat.

Dadah dipercayai jenis syabu mempunyai nilai pasaran melebihi $200,000 ditemui semasa serbuan BKN di sebuah flat Kampung Sinarubai, baru-baru ini.
Pegawai penguatkuasa dari BKN ketika membuat pemeriksaan di kediaman suspek di Kampung Sinarubai.

Menurut kenyataan dari BKN yang diterima, hari ini, semua suspek masih disiasat di bawah kesalahan Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27; Seksyen 3 Perintah Mendapatkan Kembali Hasil Jenayah 2012; Seksyen 6(b) APD, Penggal 27; seorang di bawah Seksyen 9 APD, Penggal 27; manakala empat di bawah Seksyen 10 APD, Penggal 27.

BKN dalam kenyataannya turut mengingatkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah APD Penggal 27, jika terlibat dengan apa jua bentuk aktiviti berhubung dengan penyalahgunaan dan pengedaran dadah terkawal.

Aktiviti-aktiviti pengedaran dadah ini adalah punca utama kerosakan masyarakat serta keharmonian keluarga.

Pengedar-pengedar dadah ini adalah seumpama musuh negara yang mengambil kesempatan ke atas kelemahan individu dan meraih keuntungan daripada kehancuran.

Justeru itu, ianya harus dihapuskan bagi menjamin masa depan yang cerah untuk generasi akan datang.

Dengan tertumpasnya pengedar dadah seperti ini ianya adalah merupakan satu langkah yang besar kepada visi negara agar bebas daripada dadah haram.

BKN juga menyeru kepada orang ramai agar terus bekerjasama dalam sama-sama membasmi aktiviti-aktiviti yang boleh merosakkan kesejahteraan Negara Brunei Darussalam dengan menyalurkan sebarang maklumat yang mencurigakan berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah di talian 2448877 (waktu pejabat), hotline 8777444 (selepas waktu pejabat) atau email [email protected]