Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Rombongan ahli Persatuan BISTARI yang mengadakan kunjungan ke Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Bunga, pagi tadi, telah berkesempatan menyaksikan cara-cara pembuatan keropok udang dan kuih sapit serta mengunjungi lokasi menarik persekitaran Sungai Brunei.
Lawatan ‘Berdudun ke MPK Sungai Bunga’ yang disertai seramai 19 ahli persatuan berkenaan telah diketuai oleh Yang Di-Pertua BISTARI, Datin Hajah Asmah binti Haji Abdul Rahman.
Ketibaan rombongan di Pusat Aktiviti Pelancongan Seri Tanjung, MPK Sungai Bunga telah dialu-alukan oleh Pemangku Ketua Kampung, Awang Zaini bin Haji Salleh berserta ahli-ahli MPK kampung tersebut.
Semasa kunjungan tersebut, Haji Zaini telah menyampaikan ucapan alu-aluan dan penghargaan atas lawatan rombongan yang diadakan pada pagi hari tersebut sebelum majlis diteruskan dengan tayangan video yang disediakan oleh MPK Sungai Bunga.
Di samping bertemu dengan ahli MPK Sungai Bunga, rombongan juga mengunjungi beberapa lokasi menarik di persekitaran Sungai Brunei dan pulau-pulau yang berdekatan seperti Makam Sultan Brunei ke-9 iaitu Sultan Mohammad Hassan.
Kemuncak acara pada sesi lawatan tersebut ialah demonstrasi secara langsung pemprosesan makanan laut oleh ahli MPK seperti keropok udang, cara pemprosesan kuih sapit dan cara pembuatan kelupis.
Adapun tujuan lawatan tersebut adalah bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan mengenali lebih dekat akan ahli-ahli MPK selain untuk menimba ilmu pengalaman dalam mengusahakan Projek Satu Kampung Satu Produk (1K1P) mereka.