BISTARI kunjungi Taman Agri Kampung Katimahar

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mac – Rombongan seramai 21 orang ahli Badan Kebajikan Isteri-isteri Pegawai dan Wanita Kerajaan Brunei (BISTARI), semalam, telah mengadakan lawatan ke Taman Agri Kampung Katimahar.

Rombongan berkenaan diketuai oleh Yang Di-Pertua BISTARI, Datin Hajah Asmah binti Haji Abdul Rahman dan turut menyertai rombongan tersebut ialah mantan Yang Di-Pertua BISTARI, Datin Hajah Edah binti Haji Mohd Noor.

Ketibaan rombongan telah dialu-alukan oleh Pengurus Taman Agri Majlis Perundingan Kampung (MPK) Katimahar, Haji Zainal bin Haji Safar yang kemudiannya menyampaikan taklimat mengenai latar belakang taman agri berkenaan.

Yang Di-Pertua BISTARI menyampaikan buku masakan kepada Pengurus Taman Agri  MPK Kampung Katimahar, Haji Zainal.
Yang Di-Pertua BISTARI menyampaikan buku masakan kepada Pengurus Taman Agri  MPK Kampung Katimahar, Haji Zainal.

Dalam lawatan berkenaan, rombongan menyaksikan keindahan flora dan fauna di samping melihat secara lebih dekat beberapa perusahaan yang terdapat di taman tersebut seperti kolam ikan bagi peminat pancing, ladang buah dan kawasan rekreasi bagi para pelawat termasuk ECO Ponies Garden yang menyediakan pelbagai aktiviti. Lawatan diakhiri dengan majlis penyerahan sumbangan yang diadakan di rumah Haji Zainal di mana sumbangan BISTARI telah disampaikan oleh Datin Hajah Asmah kepada Ketua Kampung Katimahar, Mukim Sengkurong, Awang Salim bin Adi.

Sumbangan berupa kewangan kepada 11 orang ibu tunggal yang tinggal di kawasan Kampung Katimahar itu diharapkan akan dapat meringankan beban para penerima. BISTARI juga memberikan cenderamata berupa buku masakan dan Majalah 25 tahun BISTARI kepada Haji Zainal.

Sepanjang lebih 30 tahun penubuhan BISTARI, ia telah banyak menjalankan kegiatan amal dan berkebajikan terutama bagi membantu ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim.Tujuan lawatan ini adalah untuk mengenal dengan lebih dekat lagi Kampung Katimahar khususnya Taman Agri Kampung Katimahar.