Bitcoin cecah paras tertinggi AS$62,000

LONDON, 13 APRIL – Bitcoin mencapai paras tertinggi di atas AS$62,000 hari ini ketika pertukaran mata wang kripto Coinbase bersedia untuk melancarkan saham di Wall Street.

Bitcoin mencapai AS$62,377, keuntungan terbesar sebanyak 114 peratus sejak awal tahun ini. Selepas jatuh pada tahun 2018, nilai bitcoin kembali pulih dan telah mencipta rekod sejak akhir tahun lalu – melonjak dari kira-kira AS$12,000 pada bulan Oktober menjadi lebih AS$60,000 sebulan yang lalu.

Pertukaran mata wang kripto Coinbase pada Rabu di Nasdaq merupakan salah satu acara Wall Street yang paling dinantikan tahun ini walaupun ada yang mempersoalkan sama ada pasaran mata wang kripto kekal kukuh.

Anggaran nilai Coinbase berbeza bergantung kepada cara pengiraannya, tetapi permodalannya dijangka dianggarkan antara AS$70 hingga AS$100 bilion.

Ia juga akan menjadikannya sebagai tawaran awam awal (IPO) terbesar untuk syarikat AS sejak Facebook pada 2012.

Gambar fail pada 17 Jun 2014 menunjukkan bitcoin di Washington. Bitcoin mencapai paras tertinggi di atas AS$62,000 kelmarin ketika pertukaran mata wang kripto Coinbase bersiap untuk melancarkan saham di Wall Street. – AFP

Ditubuhkan pada tahun 2012, platform ini membolehkan pengguna membeli dan menjual sekitar 50 mata wang kripto.

Pasaran mata wang kripto telah berkembang pesat pada tahun 2021 dan kini bernilai AS$2.0 trilion tatkala ia semakin menarik minat dari nama-nama besar di Wall Street.

Walaupun sesiapa sahaja boleh ‘melombong’ bitcoin baharu, bagaimanapun untuk melakukannya, ia memerlukan pusat data gergasi, sekali gus membolehkan platform seperti Coinbase menyediakan cara perdagangan dalam mata wang kripto.

Bank dan perkhidmatan pembayaran seperti Paypal membenarkan transaksi dalam mata wang digital tertentu.

Meskipun ia sering dijadikan sebagai platform pembayaran, tetapi ia dilihat mungkin akan menyaingi nilai emas sebagai pelaburan dalam menghadapi inflasi yang tinggi. – AFP