BIWWEC ditangguhkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Pameran dan Persidangan Air dan Sisa Kumbahan Antarabangsa Borneo (BIWWEC) yang dijadualkan diadakan pada 17 hingga 19 Ogos tahun ini di Pusat Persidangan Borneo, Kuching akan ditangguhkan kepada 6 hingga 8 Ogos 2021.

Pengerusi Persatuan Air Malaysia Cawangan Sarawak, Pengarah Jabatan air Luar Bandar Sarawak dan Pengerusi Penganjur BIWWEC, Ir Chang Kuet Shian menjelaskan, “Penangguhan acara dibuat di tengah-tengah kebimbangan meningkat dalam kalangan jawatankuasa penganjur mengenai situasi semasa COVID-19. Kami komited sepenuhnya dalam membantu untuk membendung dan menghentikan potensi penularan virus ini.

“Kami akan terus berhubung dengan Jabatan Kesihatan Sarawak bagi kemas kini situasi COVID-19 untuk menyediakan persekitaran selamat bagi peserta kami.

“Persatuan Air Malaysia Cawangan Sarawak sangat menghargai sokongan yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat dan bekerja keras untuk memperbaiki lagi persidangan dan menawarkan pengalaman yang berkualiti tinggi bagi semua peserta,” tambah beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Dengan tema Sustainability & Resilience, Overcoming Challenges of Water Grid through Smart Network, persidangan berkenaan adalah perhimpunan antarabangsa ulung Sarawak dan usaha sinergi untuk mengatasi cabaran-cabaran grid air.