Biyombo derma penutup muka kepada DR Congo

LOS ANGELES, 16 APRIL – Pemain Hornets Bismack Biyombo telah mendermakan AS$1 juta berupa penutup muka perubatan dan baju perlindungan menerusi yayasannya kepada negara kelahirannya, DR Congo.

Sumbangan termasuk empat kontena berisi 10,000 penutup muka dan 789 suit perlindungan hazmat untuk menolong usaha Republik Demokratik Congo dalam memerangi wabak koronavirus, umum Yayasan Bismack Biyombo kelmarin.

“Kami tidak pernah mengalami krisis yang begini besar. Melihat negara saya menderita adalah sangat menyedihkan,” kata Biyombo.

“Saya menghabiskan masa beberapa minggu cuba untuk mencari jalan untuk membantu mereka yang menderita di DR Congo.

“Saya dengan gembira mengumumkan bahawa Yayasa Bismack Biyombo telah menghantar lebih 10,000 penutup muka dan 780 baju perlindungan hazmat kepada DRC minggu ini.

Pemain Hornets Bismack Biyombo telah mendermakan $1 juta berupa penutup muka pembedahan dan baju perlindungan kepada DR Congo. – AFP

“Terima kasih kepada mereka yang bekerja di barisan hadapan semasa pandemik COVID-19.”

Biyombi berkata adalah amat penting untuk mendapatkan peralatan perubatan secepat mungkin kerana sistem kesihatan DR Congo telah lumpuh dalam tahun-tahun kebelakangan oleh beberapa jenis penyakit termasuk Ebola dan Malaria yang seperti COVID-19 boleh menjangkiti dari manusia ke manusia.

Setakat ini sebanyak 254 kes COVID-19 telah dicatatkan di DR Congo dengan 21 kematian, menurut John Hopkins University yang berpangkalan di Baltimore, Maryland.

Dalam 53 perlawanan dengan Hornets pada musim ini, Biyombo telah mencatat pencapaian tertinggi dengan 7.4 mata dan 5.8 rebound setiap perlawanan. Dia telah memulakan 29 daripada perlawanan tersebut dan telah digunakan dalam berbagai-bagai peranan serangan dan pertahanan.

Biyombo akan menjadi ejan bebas pada penghujung musim ini. – AFP