WASHINGTON, 31 Mac – Tiger Woods memenangi aksi kelompok 16 terakhir ke atas Rory McIlroy pada sebelah pagi tetapi dikejutkan oleh pemain Denmark, Lucas Bjerregaard dalam aksi suku akhir WGC Match Play Championship.
Woods, juara major 14 kali yang memburu gelaran Match Play WGC keempat dirinya, menewaskan McIlroy 2&1 sebelum tewas kepada pilihan ke-50 dari Denmark itu selepas gagal menyempurnakan putt dari jarak empat kaki pada lubang ke-18.
“Kami menjangkakannya di bahagian kiri dalam tetapi bola terus ke kiri,” kata Woods. “Ia antara titik yang pelik. Mereka akan meletakkan pin di titik sukar dan kami perlu melakukan pukulan.”
Bjerregaard, yang akan berdepan pilihan ke-23 Matt Kuchar pada aksi separuh akhir, menikmati kemenangannya dan sorakan penonton yang majoritinya hadir ke Austin (Texas) Country Club bagi menyaksikan Woods.
“Kami melalui perlawanan yang hebat. Malangnya ia berakhir begini,” kata Bjerregaard. “Saya menikmati beraksi dengannya. Ia pengalaman yang bagus. Boleh dikatakan saya pernah menewaskan Tiger.
“Ia amat berbeza dengan apa yang saya alami sebelum ini. Saya tidak pernah mendengar sorakan sebegini, mereka melaungkan namanya sepanjang permainan.
“Ia menyeronokkan tetapi pasti sukar untuk melakukannya setiap hari.”
Kuchar, juara edisi 2013, menewaskan pilihan ke-35 Tyrrell Hatton 4&3 sebelum menewaskan pilihan ke-26 dari Sepanyol Sergio Garcia 2-up.
Pemain Itali Francesco Molinari, pilihan tertinggi (ketujuh) yang masih tinggal, akan bertemu pilihan ke-48 Kevin Kisner, naib juara tahun lalu yang tewas kepada Bubba Watson, dalam satu lagi aksi separuh akhir. – AFP





























