BKB lancar perkhidmatan tarik jentera berat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Sebagai usaha berterusan untuk menyokong misi dan visi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) khususnya Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya Brunei Darussalam 2025 yang dilancarkan pada 28 Disember 2020, Bengkel Kereta Berakas Sdn Bhd (BKB) telah melancarkan perkhidmatan baharu iaitu penarikan jentera berat.

Hadir untuk menyempurnakan perasmian perkhidmatan baharu itu pada majlis yang berlangsung di premis BKB, Tapak Perindustrian Lambak Kanan, kelmarin, ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim selaku setiausaha MKKJR.

Turut menghadiri majlis berkenaan ialah Pengerusi BKB, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Wadood Bolkiah.

Baru-baru ini, terdapat beberapa isu mengenai jumlah tinggi kenderaan berat komersial yang ditemui rosak di tepi jalan atau lebuh raya disebabkan kerosakan mekanikal, elektrik, kegagalan enjin atau kemalangan, di mana ia adalah berbahaya bagi pengguna jalan raya lain serta boleh membawa kepada berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Oleh itu, selaras dengan Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya 2025 di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi mengenai pentingnya untuk menjaga keselamatan semua pengguna jalan raya, BKB melaksanakan inisiatif serta mencatatkan satu lagi mercu tanda dengan mengembangkan lagi perkhidmatan penarikan dengan memperkenalkan perkhidmatan penarikan jentera berat yang mempunyai berat lebih 8 tan dan ke atas.

Pengarah Urusan BKB, Awang Mohammad Ali Hashim bin Haji Mohd Yussof dalam kata alu-aluannya menyatakan, dengan adanya perkhidmatan baharu itu, ia dapat memberikan bantuan segera kepada kenderaan berat yang rosak serta dapat menghindarkan dan mengurangkan lagi risiko kemalangan.

Beliau mendedahkan bahawa BKB telah berjaya untuk mendapatkan lima buah kenderaan penarikan jenis heavy duty yang telah berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Darat bagi menawarkan perkhidmatan penarikan baharu berkenaan.

Majlis diteruskan dengan pelancaran perkhidmatan baharu penarikan jentera berat BKB yang disempurnakan bersama oleh YAM Pengiran Anak Haji Abdul Wadood Bolkiah, Haji Hairul Mohd Daud dan Awang Mohammad Ali Hashim.

YAM Pengiran Anak Haji Abdul Wadood Bolkiah dan Haji Hairul Mohd Daud diberikan penerangan mengenai jentera-jentera penarikan.