Wednesday, April 24, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    BKC kembali rancak

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Bahyiah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Suasana di ibu negara kembali ‘hidup’ dan penuh meriah pada hujung minggu ini setelah ramai pengunjung turun padang menyerikan Program Bandarku Ceria (BKC) di samping vendor-vendor mulai rancak menyediakan barangan yang hendak dijual sejak 6 pagi lagi.

    “Saya gembira kerana dapat beroperasi semula di kawasan ini,” kongsi Hajah Adillah yang merupakan seorang vendor tetap di BKC yang menjual barangan terpakai bersama keluarganya.

    Hajah Adillah semasa ditemu bual menyatakan beliau dan kebanyakan vendor-vendor tetap lainnya kini telah dibenarkan untuk berjual-jualan di pusat bandar itu yang telah dimulakan sejak Ahad lepas.

    Sebelum ini, peringkat awal pembukaan semula BKC semasa Fasa Awal Endemik, vendor-vendor telah dihadkan untuk berniaga di kawasan letak kereta dekat bangunan Royal Regalia.

    “Ia menyulitkan kami dalam kalangan peniaga tetap yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk di Kampong Ayer kerana ‘kawasan sementara itu’ agak jauh untuk membawa bersama barang dagangan kami dan perniagaan kurang mendapat sambutan kerana jarak yang jauh dari kawasan biasanya.

    Antara pengunjung yang menyaksikan salah satu tarikan yang terdapat dalam Program BKC di pusat bandar.
    Salah seorang vendor menjual barangan semasa BKC di pusat bandar.

    “Tidak banyak pemandangan yang dapat dilihat juga di kawasan itu,” tambah beliau.

    Namun BKC hari ini adalah bertentangan sama sekali dengan apa yang dialami oleh vendor tersebut kerana pusat bandar sibuk bermula sejak awal pagi tadi dengan penunggang basikal yang melintas, keluarga-keluarga yang berjoging dan kelihatan ukiran senyuman di wajah pengunjung apabila sekatan untuk memakai pelitup muka bagi aktiviti luar
    telah dilonggarkan di negara ini.

    “Kawan-kawan saya sentiasa bercakap tentang BKC, tetapi saya tidak pernah terfikir untuk menyaksikannya sendiri. Namun hari ini saya berasa sangat gembira kerana berpeluang dapat mengunjunginya,” kata Alimin, 30 tahun.

    “Saya amat menghargai suasana BKC hari ini dan teruja dapat menyaksikan perasaan orang ramai yang kelihatan tenang di sebalik wabak yang melanda.

    “Rasanya seperti semua orang tahu bahawa ada sesuatu yang istimewa di sini dan mereka mahu mengekalkannya,” tambah Alimin.

    “Satu cenderahati yang paling hebat hari ini ialah kesempatan membeli topeng Ironman di antara banyak barangan terpakai dengan harga berpatutan selepas proses tawar-menawar, ianya benar-benar seperti sesuatu yang istimewa bagi saya,” katanya ketika ditanya mengenai apa yang paling menarik semasa kunjungannya di BKC.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...