Thursday, October 5, 2023
23.8 C
Brunei

    -

    BKISHHB adakan Jalsah Ilmiyyah

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MEI – Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) telah mengadakan sesi perkongsian ilmu yang khusus dibukakan kepada warga balai berkenaan yang berlangsung di Auditorium BKISHHB, hari ini.

    Perkongsian ilmu melalui Jalsah Ilmiyyah bertajuk Mimbar Nabi SAW: Sejarah dan Fadilatnya itu telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah Dar Al-Siddiq for Sciences, Jeddah, Dr Nezar Mahmoud Kasem Alsheikh.

    Sesi perkongsian ilmu tersebut antara lain bertujuan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan mendapatkan maklumat-maklumat terkini yang bermanfaat terutama mengenai kehidupan Rasulullah SAW dan sejarah masa serta tempat yang berhubung kait dengan kehidupan Baginda.

    Ini seperti sejarah mimbar Rasulullah SAW dengan berpandukan kepada kitab-kitab hadis, sirah Nabi Muhammad SAW dan buku-buku sejarah.

    Selain itu, warga BKISHHB juga telah berpeluang melihat buat pertama kalinya replika model mimbar Rasulullah SAW dan mempelajari lebih mendalam sejarah pembuatannya pada tahun ke-8 Hijrah sebelum ia musnah dalam peristiwa kebakaran Masjid An-Nabawi pada tahun 654 Hijrah.

    Dr Nezar Mahmoud Kasem Alsheikh semasa sesi perkongsian ilmu berkenaan.
    Khusyuk…audiens mendengarkan penerangan Dr Nezar Mahmoud.
    Antara yang hadir pada sesi perkongsian ilmu itu.

    Hasil kajian yang dijalankan oleh Dr Nezar itu telah membolehkan beliau untuk menghasilkan model mimbar Rasulullah SAW mengikut spesifikasi dan ukuran sebenar dengan menggunakan kayu dari pokok Athal atau juga dikenali sebagai pokok Tarfa’ yang diperolehi dari persekitaran kota Madinah Al-Munawwarah yang mana, jenis kayu sama pernah digunakan untuk membuat mimbar asal pada zaman Baginda.

    Di samping itu, beliau juga telah menghasilkan replika mimbar bersaiz kecil selain hasil kajian mengenai mimbar Rasulullah SAW juga telah diterbitkan dalam buku berjudul al-Durr al-Thamin fi Fada’il Mimbar al-Nabi al-Amin SAW iaitu Permata Bernilai Tentang Kelebihan Mimbar Rasulullah SAW.

    Pembentangan mengenai mimbar Nabi SAW telah disampaikan sepenuhnya dalam bahasa Arab dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Pengarah BKISHHB, Dr Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad, bagi memberikan peluang kepada warga BKISHHB untuk memahami tajuk yang disampaikan dengan sebaiknya.

    Dr Nezar merupakan seorang pengkaji yang mendalami penyelidikan berkaitan sirah Rasulullah SAW yang merangkumi sejarah kehidupan Baginda dan tempat-tempat sejarah yang berhubungkait dengan kehidupan Baginda.

    Dr Nezar berada di Brunei Darussalam untuk berkunjung ke BKISHHB bagi melihat sendiri bahan-bahan koleksi yang dipamerkan, lebih-lebih lagi di dua buah galeri yang khusus menyimpan dan mempamerkan bahan-bahan koleksi yang berkaitan dengan Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Kanada tegaskan perlu ‘kehadiran diplomatik kuat’ di India

    NEW DELHI, 4 OKT - Kanada kelmarin menegaskan keperluan untuk mempunyai kehadiran diplomatik yang kukuh di India selepas muncul laporan bahawa kerajaan India mahu...