BKN patahkan kegiatan pengedaran dadah

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Biro Kawalan Narkotik (BKN) berjaya mematahkan kegiatan pengedaran dadah dengan menangkap tujuh individu tempatan di sebuah kediaman di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Meragang, Daerah Brunei dan Muara.

Menurut kenyataan daripada BKN, di sini, kesemua individu tersebut berumur dalam lingkungan 21 hingga 52 tahun.

Hasil daripada serbuan tersebut, pihak berkuasa telah menemui beberapa potongan straw dan paket-paket plastik berisi pecahan hablur dipercayai dadah jenis Syabu, dadah Kelas A melebihi 12 gram yang dianggarkan bernilai melebihi $2,000.

Selain itu, pihak berkuasa juga telah merampas beberapa alat perkakas yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah dan sejumlah wang tunai dalam anggaran melebihi $1,000 yang dipercayai hasil daripada aktiviti pengedaran dadah tersebut.

Kes tersebut bagaimanapun masih dalam siasatan, di mana dua daripada mereka didakwa di bawah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar yang boleh membawa hukuman minimum lima tahun penjara dan lima sebatan dan hukuman maksimum 20 penjara dan 15 sebatan dan memiliki bagi tujuan mengedar dadah terkawal Kelas A, lebih daripada 100 gram membawa kepada hukuman gantung hingga mati.

Manakala dua lagi didakwa di bawah Seksyen 6(a) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh 10 tahun atau denda sebanyak $20,000 atau kedua-duanya.

Kesemua kes adalah di bawah Seksyen 6(b) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memakan dadah terkawal yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh 10 tahun atau denda sebanyak $20,000 atau kedua-duanya. Sementara seorang lagi didakwa di bawah Seksyen 7 APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki alat perkakas yang digunakan untuk memakan dadah terkawal yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh tiga tahun atau denda sebanyak $10,000 atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, BKN ingin mengingatkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah APD, Penggal 27, jika terlibat dengan apa jua bentuk aktiviti berhubung dengan penyalahgunaan dan pengedaran dadah terkawal. Justeru BKN ingin menyeru kepada orang ramai agar memberikan kerjasama bagi sama-sama membasmi aktiviti-aktiviti yang boleh merosakkan masa depan Negara Brunei Darussalam.

Sebarang maklumat yang mencurigakan berhubung dengan kegiatan penyalahgunaan dadah boleh menghubungi talian 2448877 (waktu pejabat), hotline 8777444 (selepas waktu pejabat) atau email [email protected]

Sejumlah wang tunai dalam anggaran melebihi $1,000 yang dipercayai hasil daripada aktiviti pengedaran dadah.