BKN tahan 4 suspek, rampas dadah, rokok

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Dadah dan lebih 190 karton rokok pelbagai jenama antara yang dirampas oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) dalam operasi pembanterasan kegiatan dadah yang diadakan di dua buah lokasi berasingan di Kampung Kiulap dan Rimba pada 17 Ogos lalu.

Menurut kenyataan yang diterima hari ini, BKN telah menahan tiga orang lelaki, seorang tempatan dan dua warga asing semasa operasi di Kampung Kiulap serta seorang wanita tempatan dalam operasi kedua di Kampung Rimba, yang mana kesemua suspek berumur dalam lingkungan 25 ke 53 tahun.

Hasil daripada pemeriksaan ke atas suspek-suspek di Kampung Kiulap telah menemui beberapa paket plastik berisi ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu, dadah Kelas A, melebihi 17 gram yang dianggarkan bernilai lebih $3,500.

Antara barang lain yang dirampas ialah alat perkakas yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah, satu timbangan digital dan paket-paket plastik kosong, telefon bimbit yang mana kesemuanya dipercayai digunakan untuk kegunaan aktiviti penjualan dadah serta wang tunai berjumlah $1,002 yang dipercayai hasil daripada aktiviti pengedaran dadah.

Sementara itu, pemeriksaan di Kampung Rimba, pihak berkuasa telah menjumpai satu paket plastik berisi ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu, dadah Kelas A dan alat perkakas yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah.

Dadah jenis syabu yang dirampas oleh BKN semasa operasi dijalankan di Kampung Kiulap dan Rimba pada 17 Ogos lalu. – Gambar serahan BKN

Turut dijumpai ialah 193 karton rokok pelbagai jenama dan telah diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja untuk siasatan lanjut.

Hasil siasatan, dua suspek mempunyai rekod kesalahan lama di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27. BKN turut mengingatkan bahawa menjadi satu kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah Penggal 27, jika terlibat dengan apa jua bentuk aktiviti berhubung dengan penyalahgunaan dan pengedaran dadah terkawal.

Pesalah kali kedua dan seterusnya tidak akan dipandang ringan dan akan menerima hukuman yang berat.

Justeru itu, BKN menyeru orang ramai agar memberikan kerjasama dalam sama-sama membasmi aktiviti-aktiviti yang boleh merosakkan kesejahteraan Negara Brunei Darussalam.

BKN juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan sokongan.

Sebarang maklumat yang mencurigakan berhubung dengan kegiatan penyalahgunaan dadah boleh menghubungi talian 2448877 (waktu pejabat), hotline 8777444 (selepas waktu pejabat) atau email [email protected]