Thursday, December 5, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Black Cat’ ungguli Brunei Film Blitz

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jan – Selepas tiga hari produksi yang sibuk dan pertunjukan yang berjaya, Brunei Film Blitz telah menutup tirainya semalam menjelang tahun baru, di mana para pemenang bagi Kategori Terbuka dan Kategori 48 Hour Film Blitz telah diumumkan bertempat di Screen 1, Times Cineplex, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong.

    Majlis berkenaan telah dihadiri oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah dan sijil kepada para pemenang.

    Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Nurul Amal Munjiyyatul Athirah.

    Pengarah Festival, Dayang Siti Kamaluddin dalam ucapannya di majlis berkenaan menjelaskan bahawa sesuatu yang istimewa sedang diraikan pada malam tersebut iaitu tentang melaksanakan permulaan dalam memupuk industri perfileman di Brunei Darussalam.

    “Saya berterima kasih kepada semua kerana sokongan dan kepercayaan kerana menjayakan Brunei Film Blitz. Saya berharap ini adalah permulaan bagi banyak lagi yang akan datang,” tambahnya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali semasa menyampaikan hadiah kepada juara Kategori 48 Hour Film Blitz, ‘Black Cat’ oleh Dayang Liyana Hanif.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika menyempurnakan penyam-paian hadiah kepada pemenang Kategori Terbuka, Visionary Project.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika menyampaikan sijil penghargaan kepada pemenang bagi Sebutan Juri Khas, Awang Malek Razak .
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika sesi bergambar ramai bersama para pemenang di Majlis Penutup Brunei Film Blitz.

    Dayang Siti Kamaluddin turut mengambil peluang menyampaikan ucapan terima kasih kepada penyokong dan penaja Brunei Film Blitz iaitu Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Progresif Cellular, Golden Corporation, Harsood, Times Cineplex, Aewon, Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam, Hotel Brunei, SBRJ, CBTL, Jati Transport, Cityneon, Kingston dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei kerana telah mempercayai karya seni terutamanya dalam industri perfileman.

    Di akhir majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang dalam dua kategori yang dipertandingkan telah diadakan iaitu Kategori 48 Hour Film Blitz dan Kategori Terbuka.

    Filem bertajuk ‘Black Cat’ oleh Dayang Liyana Hanif telah terpilih menjadi juara bagi Kategori 48 Hour Film Blitz dengan membawa pulang $10,000, manakala pemenang Kategori Ter-buka dengan hadiah berjumlah $5,000 disandang oleh Visionary Project dengan filem bertajuk ‘Selamat Malam’.

    Juga disampaikan adalah sijil penghargaan kepada pemenang bagi Sebutan Juri Khas, Awang Malek Razak dengan filemnya bertajuk ‘Wish You Were Here’.

    Walaupun Brunei Film Blitz 2017 telah berakhir, Dayang Siti Kamaluddin berharap agar Brunei Film Blitz berkenaan menjadi satu acara tahunan agar dapat terus menjadi platform terbaik untuk mengasah bakat pembuat filem di Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda