Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Black Eagles bakal hidupkan ruang angkasa LIMA ‘17

    KUALA LUMPUR, 29 Jan – Anda telah saksikan kehebatan aerobatic Red Arrows daripada Tentera Udara Diraja Britain. Sekarang anda berpeluang melihat sendiri kebanggaan Korea Selatan – Black Eagles – beraksi pada LIMA ‘17.

    Pasukan aerobatik lain yang mengesahkan penyertaan mereka pada Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Malaysia 2017 (LIMA ‘17) itu termasuk Sarang dari India dan Jupiter dari Indonesia.

    Black Eagles memenangi trofi Boeing bagi persembahan terbaik pada Pameran Udara Antarabangsa Waddington ke-17 pada 1 Julai 2012. Seminggu kemudia mereka dinobat penerima anugerah ‘King Hussein Memorial Sword’ untuk persembahan terbaik keseluruhan pada Pertunjukan Tatu Udara Antarabangsa Diraja, pameran udara tentera terbesar di dunia yang diadakan setiap tahun di Glouchestershire, England.

    “Mereka sedang mencipta nama dalam aerobatik dan peluang menyaksikan persembahan mereka tidak wajar dilepaskan,” kata jurucakap Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan bagi LIMA.

    Pasukan aerobatik itu merangkumi lapan pesawat KAI T-50 Golden Eagles yang dibangunkan oleh Korean Aerospace Industries dan Lockheed Martin, sebuah syarikat pertahanan Amerika Syarikat.

    Aksi pasukan aerobatik Black Eagle mempamerkan kehebatan mereka. – Bernama
    Aksi pasukan aerobatik Black Eagle mempamerkan kehebatan mereka. – Bernama

    Penganjur LIMA ‘17, EN Projects berkata Red Arrows yang menyertai LIMA pada 2007 dan membuat persembahan untuk Epsom College Malaysia tahun lepas, tidak akan mengambil bahagian dalam pameran tahun ini.

    Begitu juga dengan Kris Sakti, pasukan aerobatik dari Malaysia, kata jurucakap itu.

    Sementara itu, pasukan Sarang yang merangkumi empat helikopter ALH (Advanced Light Helicopter) milik Tentera Udara India, membuat penampilan awam pertama mereka semasa Pameran Udara Singapura pada 2004.

    Penganjur berkata 267 syarikat dari 35 negara mengesahkan penyertaan mereka pada pameran tiga hari bermula 21 Mac ini.

    Antaranya ialah peneraju kontraktor pertahanan dan pengeluar senjata Turki, Rokestan Missiles Industries.

    Pemenang ‘Best International Stand Design Award’ pada Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa 2016 itu terkenal dengan misil dan roket seperti J-600T Yildirim, Mizrak-U dan T-122 Sakarya, serta sistem tentera lautnya.

    Sebanyak 104 syarikat Malaysia mengesahkan penyertaan termasuk Boustead Heavy Industries Corporation yang membuat penampilan pertama di LIMA.

    Syarikat itu dijangka mengetengahkan gajet komunikasi dan elektronik selain persenjataan.

    Sebanyak 15 pertunjukan udara oleh pasukan udara termasuk dari Amerika Syarikat, Perancis, Itali, Thailand dan Malaysia dijadualkan pada pameran kali.

    Penganjur berkata setakat ini mereka menerima pengesahan pertunjukan daripada 80 jet pejuang serta 68 kapal perang dan bot.

    LIMA ‘17 dijangka menampilkan lebih 550 pameran antarabangsa dan tempatan yang disasarkan menarik 40,000 pengunjung. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda