SYDNEY, 5 SEPT – Gergasi ekuiti swasta Amerika Syarikat (AS), Blackstone kelmarin mengumumkan perjanjian AS$16 bilion untuk membeli pengendali pusat data yang berpangkalan di Sydney, AirTrunk, sebahagian daripada usaha untuk menambah aset berkaitan kecerdasan buatan (AI) di Asia-Pasifik.
Presiden Blackstone, Jon Gray mengumumkan perjanjian itu, yang disifatkan oleh syarikat berkenaan sebagai pelaburan terbesar Blackstone di rantau Asia Pasifik.
AirTrunk menjalankan 11 pusat data besar-besaran di Australia, Hong Kong, Jepun, Malaysia dan Singapura, memberikan perkhidmatan kepada pasaran untuk pengkomputeran awan dan AI yang berkembang pesat.
Gray berkata pembelian itu adalah ‘pertaruhan tertinggi’ dalam pasaran yang berkembang.
“AirTrunk merupakan satu lagi langkah penting ketika Blackstone berusaha untuk menjadi pelabur infrastruktur digital terkemuka di dunia merentas ekosistem, termasuk pusat data, tenaga dan perkhidmatan berkaitan,” katanya.
Perjanjian itu akan tertakluk kepada kelulusan kawal selia, tetapi sudah pun dipuji sebagai salah satu penggabungan dan pengambilalihan terbesar di Australia tahun ini.
AirTrunk diasaskan oleh Robin Khuda, kelahiran Bangladesh, yang datang ke Australia sebagai pelajar universiti.
Lembaga Pelaburan Pelan Pencen Kanada juga telah membuat pelaburan dalam perjanjian kelmarin. – AFP