Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Blade: Umpan tiruan yang efektif

    Oleh Raz AS

    Umpan tiruan yang badannya diperbuat daripada kepingan besi, mempunyai satu atau dua bentuk mata kail, dan bergantung pada gegaran bagi mendapatkan reaksi ikan untuk menyambarnya.

    Penerangan sedemikian memberi gambaran kepada kebanyakan pemancing, terutama di negara ini, ia berkemungkinan daripada jenis jig atau spoon.

    Tidak ramai yang akan menjangka bahawa ia juga memenuhi kriteria bagi sejenis umpan tiruan yang dikenali sebagai blade.

    Perbezaan antara blade dengan jig atau spoon adalah bentuk badannya yang lebih menyerupai lipless crankbait dan mempunyai bahagian kepala yang berat.

    Uniknya blade adalah ia bukan sahaja boleh digayakan dengan teknik hampir sama dengan lipless crankbait bahkan juga ia boleh digunakan untuk pancingan menegak, iaitu dengan sekadar mengangkat dan menjatuhkannya berulang-ulang.

    Blade mempunyai bentuk badan yang menyerupai lipless crankbait dan mempunyai bahagian kepala yang berat.
    Meskipun sinonim dengan pancingan air tawar, tetapi ia juga telah diadaptasi bagi pancingan air masin.

    Badannya yang jauh lebih berat berbanding saiznya membolehkan ia dilontar jauh, atau dijatuhkan ke bawah dengan cepat ke tahap kedalaman yang diinginkan, zon di mana ikan berada.

    Apabila ditarik atau diangkat, badan blade akan menghasilkan gegaran. Gulungan perlahan yang cukup-cukup dapat menggegarkan badan blade yang sudah memadai untuk menarik perhatian ikan, namun kelajuan gulungan boleh ditukar-tukar atau diselang-selikan bagi mengetahui apa yang dimahukan ikan pada ketika itu.

    Blade merupakan jenis umpan tiruan yang boleh digunakan sepanjang tahun, tetapi kelebihannya lebih terserlah ketika cuaca atau musim sejuk di mana suhu air menjadi sangat rendah. Ia menyerupai anak ikan yang hampir mati disebabkan cuaca ekstrem.

    Ia boleh digunakan dari kawasan tebing tetapi disebabkan risiko sangkut kerana beratnya, ia lebih sesuai digunakan di kawasan dalam atau di tengah sungai, berdekatan tiang-tiang jambatan, jeti dan sebagainya.

    Meskipun pada asalnya blade lebih sinonim dengan pancingan air tawar di Amerika Syarikat, tetapi di Australia ia juga telah diadaptasi kepada pancingan air masin yang ternyata sangat membuahkan hasil.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...