CANBERRA, AUSTRALIA, 10 FEB – Amerika Syarikat mengekalkan tumpuan jangka panjang ke atas rantau Indo-Pasifik meskipun bimbang dengan serangan Rusia ke atas Ukraine, kata Setiausaha Negara AS, Antony Blinken hari ini.
Blinken berada di bandar Melbourne, Australia bagi menghadiri mesyuarat esok bersama rakan sejawatannya dari Australia, India dan Jepun.
Keempat-empat negara berkenaan membentuk ‘Quad’ iaitu satu blok demokrasi Indo-Pasifik yang ditubuhkan untuk mengatasi pengaruh serantau China.
“Ada beberapa perkara yang terjadi di dunia sekarang, beberapa daripadanya awda mungkin menyedarinya. Kami berdepan sedikit cabaran mengenai isu Ukraine dan Rusia.
“Kami bekerja sepanjang masa menangani perkara tersebut,” kata Blinken dalam ucapan pertamanya sejak tiba di Australia kelmarin.
“Tetapi kami tahu, presiden lebih tahu daripada sesiapa pun, bahawa sepanjang abad ini akan dibentuk oleh apa yang berlaku di sini di rantau Indo-Pasifik,” tambahnya.
Indo-Pasifik adalah rantau yang berkembang pantas di dunia, yang memperkira dua pertiga daripada pertumbuhan ekonomi global dalam tempoh lima tahun lalu dan rumah kepada separuh penduduk dunia, kata Blinken.
Apa yang berlaku di rantau itu adalah juga penting di seluruh dunia dan cabaran-cabaran seperti perubahan iklim dan COVID-19 tidak boleh ditangani oleh sesebuah negara secara sendirian, katanya.
“Lebih daripada sebelumnya, kami memerlukan rakan kongsi, kami perlukan perikatan, gabungan negara-negara yang sanggup meneruskan usaha, sumber, buah fikiran untuk menangani masalah ini,” kata Blinken.
“Apa yang mendorong kami adalah satu visi yang dikongsi bagi ‘masyarakat bebas dan terbuka,” katanya. – AP