NABAWAN, 4 JULAI – Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) memberi manfaat kepada penduduk sekitar Sook dan Nabawan apabila 396 orang berusia 16 hingga 60 tahun memperoleh lesen menunggang motosikal kelas B2 melalui program itu hari ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Kurup juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata kawasan Parlimennya telah dipilih menjadi lokasi pertama di Sabah bagi menjayakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kementerian Pengangkutan itu melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Beliau berkata pemilikan lesen kelas B2 itu akan membantu masyarakat B40 di Sabah khususnya belia di Parlimen Pensiangan dengan membolehkan mereka mencari serta meningkatkan pendapatan melalui pekerjaan atau peniagaan melalui motosikal dan seterusnya meningkatkan sosioekonomi setempat.
“Pemberian bantuan lesen memandu ini adalah selari dengan usaha yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan ekonomi penduduk di kawasan ini,” katanya dalam kenyataan selepas merasmikan Majlis Penutup BLKM Peringkat Parlimen P.182 Pensiangan- Zon 1 Nabawan Bil 1/2022 di sini hari ini. – Bernama