Blok tenji bantu orang cacat penglihatan di Jepun

TOKYO – Dari lintasan Shibuya yang terkenal di Tokyo ke pulau terpencil Okinawa, jalan raya Jepun mempunyai sesuatu yang umum: ‘blok tenji’, iaitu petak turap bertekstur warna kuning untuk membantu golongan cacat penglihatan.

Laluan berturap yang dapat dirasa menerusi sentuhan itu dicipta di Jepun lebih 50 tahun lalu untuk membantu mereka yang cacat penglihatan bergerak dengan lancar dan selamat di sekitar persekitaran bandar.

Dan laluan tersebut telah berkembang di seluruh dunia dalam beberapa tahun ini, menjadi pemandangan yang biasa di bandar raya dari London ke Sydney.

Jubin berkenaan, biasanya ditemui di platform stesen kereta api, lintasan pejalan kaki dan di depan bangunan awam, biasanya berwarna kuning, yang sering dikatakan warna paling senang untuk dilihat oleh mereka yang cacat penglihatan.

Jubin datang dalam dua jenis: petak-petak dengan jalur selari yang dinaikkan untuk memberitahu pejalan kaki mereka boleh melintas dengan selamat dan memimpin mereka terus mengikut jalan raya, sementara jubin dengan bonggol timbul menandakan perubahan haluan atau tempat berhenti seperti pintu masuk, atau kemungkinan bahaya seperti tepi platform, tangga atau lampu isyarat.

“Berjalan di sepanjang laluan sentuhan memberi jaminan kepada saya bahawa ia selamat untuk berjalan di sana,” beritahu Toyoharu Yoshiizumi, anggota eksekutif Persekutuan Golongan Buta Jepun, kepada AFP.

Panel laluan jalan kaki kuning, juga dikenali sebagai blok tenji, yang bertujuan membantu orang buta, kelihatan dalam sebuah stesen kereta api di Tokyo. – AFP

Yoshiizumi, yang kehilangan penglihatannya pada usia 12 tahun, berulang-alik kira-kira 40 minit setiap hari, dipandu oleh blok tenji – dinamakan sempena perkataan Jepun untuk braille.

“Jalan raya tidak pernah lurus dan selalunya berbelok-belok atau melengkung, dan disebabkan blok panduan, saya rasa selamat kerana saya tahu saya berjalan di sepanjang jalan.”

Blok yang sentiasa ada itu kini menjadi gagasan pencipta tempatan Seiichi Miyake dari barat Jepun Okayama.

Selepas melihat seorang buta dengan tongkat nyaris-nyaris dilanggar oleh sebuah kereta di satu persimpangan, Miyake memutuskan untuk menumpukan masanya mencipta sesuatu yang dapat membantu orang buta selamat semasa menggunakan jalan raya.

Pada 1967, blok tenji pertama Jepun disumbangkan kepada satu lintasan berhampiran sebuah sekolah untuk orang buta di Okayama.

Abang Miyake membantunya membangunkan blok tenji dan seterusnya berkata beliau ‘tidak sekali-kali akan melupakan perasaan terharu’ apabila jubin tersebut pertama kali diuji oleh seorang pejalan kaki.

Ia akan mengambil masa tiga tahun lagi untuk jubin berkenaan sampai ke daerah pertama di Tokyo, dan tidak lama selepas itu menjadi global, amat terkenal sehingga ia dipaparkan sebagai Google Doodle animasi pada 2019.

Dan inovasi blok tenji masih diteruskan hari ini.

Sementara blok itu membantu menjamin keselamatan pejalan kaki, mereka tidak memberikan banyak maklumat, termasuk haluan yang mana yang diambil oleh seseorang.

Namun satu aplikasi yang dilancar pada tahun ini bertujuan mengatasi masalah itu, dengan kod QR ditampal pada blok di berapa stesen di Tokyo, yang boleh diimbas oleh pejalan kaki untuk mendapatkan maklumat lisan termasuk haluan dan jarak ke destinasi mereka.

“Banyak maklumat datang dari penglihatan tetapi orang buta tidak mempunyai akses kepada maklumat berkenaan,” kata Yuichi Konishi, pengerusi LiNKX, yang membangunkan aplikasi itu.

“Kami mahu melakukan sesuatu mengenainya dengan teknologi.”

Dengan aplikasi itu, pengguna boleh memilih destinasi seperti tempat keluar khusus, tandas dan gerabak kereta api. Setakat ini, kod QR boleh diperoleh di sembilan stesen metro Tokyo dan syarikat berharap projek tersebut akan berkembang.

Blok tenji sendiri tidak mencukupi untuk menjamin keselamatan orang.

Pada tahun lalu, seorang lelaki buta terjatuh ke landasan kereta api di stesen Tokyo dan dilanggar oleh kereta api meskipun terdapatnya blok di platform.

Namun, platform kereta api semakin memaparkan pintu yang hanya terbuka apabila sebuah kereta api berada di stesen. Ciri-ciri keselamatan lain di Tokyo termasuk lintasan pejalan kaki berbunyi yang memberitahu orang bila menyeberang lintasan, dan rakaman yang mengumumkan bermula atau berakhir sebuah eskalator atau tangga gerak.

Yoshiizumi berkata mereka yang cacat penglihatan memerlukan infastruktur tetapi juga sokongan daripada orang lain.

“Mengenai kesedaran, saya mendapati sikap terbuka terhadap orang dengan kekurangan upaya telah meningkat mendadak,” ujarnya.

“Apabila saya berjalan menerusi sebuah stesen, pekerja stesen sudah tentunya bercakap kepada saya, tetapi sekarang saya selalu mendengar pe-numpang lain menawarkan bantuan mereka untuk memimpin saya.”

Dan dia berharap Sukan Paralimpik Tokyo, yang sedang berlangsung di bandar itu, akan membantu mempertingkat keterangkuman untuk golongan kelainan upaya.

“Orang berfikir, kamu tidak dapat lakukan ini atau itu disebabkan kecacatan atau kehilangan upaya.”

“Saya berharap menyaksikan Sukan Paralimpik akan mengubah persepsi mereka supaya mereka dapat memahami kami boleh melakukan banyak perkara,” katanya.

“Saya fikir ia akan menjadikan dunia satu tempat yang lebih baik untuk golongan kelainan upaya.” – AFP