Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Bloodkad bantu selaras proses pendermaan darah

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JUN – Aktiviti-aktiviti dan kempen pendermaan darah masih menjadi amalan berterusan yang jelas dapat disaksikan di Negara Brunei Darussalam dengan Kementerian Kesihatan melalui Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal akan sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi pendidikan, pasukan seragam, sektor swasta serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyelaraskan kempen-kempen bergerak pendermaan darah di kesemua daerah.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2022 menyatakan bahawa pada 2021, Pusat Pendermaan Darah telah mencatat sebanyak 16,666 kutipan darah yang disumbangkan oleh 12,305 orang penderma darah termasuk 3,694 penderma darah yang baru berdaftar.

    Pada 2020 pula, sejumlah 16,156 kutipan darah telah dicatatkan termasuk 3,215 penderma darah baru berdaftar.

    “Ini bermakna, peningkatan sebanyak 3.1 peratus atau 510 unit darah dalam kutipan darah telah dapat dilihat pada 2021 berbanding kutipan darah pada 2020,” ujar beliau.

    Yang Berhormat Dato menjelaskan lanjut bahawa matlamat bagi pencapaian tahunan jumlah penderma darah yang disarankan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah dalam lingkungan 1 hingga 3 peratus daripada jumlah keramaian penduduk bagi memenuhi keperluan negara dalam menangani situasi kecemasan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham berkata kutipan darah meningkat 3.1 peratus pada 2021 berbanding kutipan darah pada 2020. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan

    “Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam pada tahun 2021 telah mencapai sebanyak 2.7 peratus bagi perangkaan ini yang mana adalah konsisten dengan pencapaian dari tahun 2014,” kongsi beliau.

    Dalam memastikan pencapaian itu sentiasa berterusan, ulas Yang Berhormat Dato lagi, Pusat Pendermaan Darah sentiasa aktif mempelawa dan menggalakkan pengelolaan kempen-kempen pendermaan darah secara sukarela bagi memperkasa dan memperluaskan lagi aktiviti sepertinya semata-mata untuk menarik lebih ramai lagi penderma darah, sama ada yang sedia ada atau yang belum pernah menyumbangkan darah.

    Yang Berhormat Dato dalam perutusan itu turut mengongsikan bahawa dalam memastikan darah yang diberi kepada pesakit adalah selamat dan berkualiti tinggi serta bagi memastikan akses universal kepada darah berkenaan, kementeriannya melalui pelbagai pihak yang berkepentingan sedang giat merangka sistem darah kebangsaan yang merangkumi dasar-dasar darah kebangsaan, program penderma darah sukarela tanpa imbalan, dasar bagi penggunaan darah dan produk darah secara klinikal dan bersesuaian serta dasar-dasar lain yang berkaitan dengannya.

    Oleh itu, beliau menekankan keperluan bagi satu jawatankuasa darah kebangsaan dilihat sangat penting bagi memantau dan memastikan penggubalan sistem dan dasar-dasar tersebut dilaksanakan dengan betul dan berkesan.

    Selain langkah-langkah berkenaan dalam memastikan pengutipan darah yang selamat, Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal juga aktif mempromosikan penggunaan aplikasi BloodKad yang telah banyak membantu menyelaraskan proses pendermaan darah dari segi pendaftaran penderma darah, pengisian borang pemeriksaan kesihatan dan tempahan slot menderma.

    Menurut beliau, penggunaan aplikasi itu meningkat dengan amat ketara semasa pandemik COVID dan merupakan satu petanda positif ke arah mempertingkatkan penggunaan infoteknologi terkini selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) bagi membantu melicinkan proses pendermaan dan mengurangkan masa menunggu.

    Mengulas mengenai Hari Penderma Darah Sedunia yang diraikan setiap 14 Jun, beliau berkata ia dikhususkan bagi menzahirkan penghargaan kepada semua penderma darah yang secara sukarela menderma tanpa mengharapkan sebarang imbalan daripadanya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...