Oleh Adiiwira
Semenjak penularan wabak COVID-19 ke seluruh dunia, kegiatan harian amat terhad untuk dilakukan sehingga acara-acara rasmi, konsert-konsert dan sebagainya terpaksa dihentikan untuk pencegahan virus berkenaan.
Di Amerika Utara, dalam dunia hiburan, banyak tempat-tempat hiburan terpaksa ditutup dan hampir semua filem dan rancangan terbitan TV Hollywood terpaksa ditunda sementara berikutan COVID-19 yang terus menular.
Sebelum hari Jumaat lalu, kebimbangan terhadap pandemik belum muncul untuk memberi kesan kepada pergerakan filem. Tiga buah filem baharu telah dilancarkan yang memasuki pecah panggung minggu ini. Salah sebuah filem yang dilancarkan pada malam Khamis itu ialah filem berasaskan komik superhero tahun 1992 dari Valiant, Bloodshot terbitan Sony Pictures.
Filem ini telah mendapat kutipan AS$1.2 juta di 2,631 lokasi Amerika Utara ketika pelancarannya dan mengutip AS$9.3 juta dari 2,861 lokasi pada minggu ini. Di luar negara, filem ini berjaya menambah kutipan sebanyak AS$13 juta dari 50 pasaran asing pada hujung minggu ini, meningkatkan jarak globalnya kepada AS$24.4 juta.
Bloodshot diarahkan oleh David S. F. Wilson yang menelan kos perbelanjaan bagi pembuatan filem ini sebanyak AS$45 juta dibiayai oleh Sony Pictures, Bona Film Group dan Cross Creek Pictures yang dibintangi oleh Vin Diesel. Filem ini mengisahkan tentang seorang tentera laut bernama Ray Garrison (Vin Diesel) dan isterinya menjadi korban pembunuhan.





Ray Garisson telah dihidupkan semula oleh satu kumpulan ilmuwan rahsia bernama RST Corporation dengan bantuan nano teknologi. Ray memiliki kelebihan yang istimewa dan dapat pulih daripada kecederaan secara cepat.
Namun kehidupan semula Ray ini tidak dapat membantunya mengingat apa pun kehidupan sebelumnya. Suatu ketika dirinya dipenuhi dengan ingatan, Ray mampu mengingat individu yang membunuhnya dan isterinya.
Pada mulanya, dirinya tidak menyedari bahawa dirinya dijadikan sebagai alat yang diprogramkan untuk membunuh orang tertentu sehingga dirinya menyedari hal tersebut. Ray berniat untuk membalas dendam terhadap orang-orang yang bertanggungjawab ke atas semua yang telah menimpa dirinya.
Filem ini telah mendapat markah B pada CinemaScore daripada penonton. Sebagai sebuah filem dalam kategori PG-13, kebanyakannya mendapat ulasan negatif yang mendapat penilaian 35 peratus pada Rotten Tomatoes. Filem ini turut dibintangi oleh Eiza Gonzales, Sam Heughan, Toby Kebbell, Guy Pearce, Lamorne Morris dan ramai lagi.
Kedudukan filem terkini
Selain pelancaran filem Bloodshot, dua buah filem baharu yang turut dilancarkan iaitu filem terbitan Lionsgate I Still Believe dan filem The Hunt terbitan Universal.
Filem yang menduduki tempat ketiga carta pecah panggung minggu adalah filem I Still Believe terbitan Lionsgate dan Kingdom Story Company. Filem ini berasaskan kepercayaan yang diarahkan oleh Andrew dan Jon Erwin, yang kali terakhirnya bekerjasama dalam filem I Can Only Imagine pada tahun 2018, yang telah mencapai kutipan AS$17 juta dan mencapai AS$86 juta.
Filem ini dibintangi oleh KJ Apa sebagai penyanyi Jeremy Camp, berjaya memperoleh kutipan AS$9.5 juta dari 3,250 panggung wayang, sedikit di bawah jangkaan. I Still Believe mendapat markah A bagi CinemaScore dan membuat persembahan yang paling kuat di selatan dan barat tengah.
The Hunt merupakan filem R-rated mengenai satira politik yang telah menjadi subjek kontroversi sejak ia mula dijadualkan pada bulan September tahun lalu. Tetapi pihak Universal membatalkan pelancarannya selepas tiga kali penggambaran besar-besaran serta pengawasan media yang kuat selepas Presiden AS, Donald Trump mengkritiknya di Twitter.
Filem bernilai AS$14 juta ini telah menduduki tempat kelima carta pecah panggung minggu ini dengan kutipan AS$5.3 juta dari 3,028 lokasi, kira-kira separuh daripada apa yang dijangkakan. Filem ini juga telah mendapat markah C bagi CinemaScore dan purata 54 peratus pada Rotten Tomatoes.
Meskipun ketiga-tiga filem baharu ini dilancarkan, masih belum dapat mengatasi juara pecah panggung, Onward. Filem animasi pengembaraan fantasi terbitan Disney dan Pixar ini memulakan kerjaya berjumlah AS$39 juta pada hujung minggu lalu, walaupun hasil yang kurang memuaskan untuk filem Pixar, tetapi cukup untuk menguasai persaingan. Selepas dua minggu pelancarannya, Onward telah mengutip AS$60.8 juta di Amerika Utara dan AS$101 juta di seluruh dunia. Pada hujung minggu ini, Onward berjaya mengutip kutipan sebanyak AS$11 juta.
Kedudukan kedua carta pecah panggung minggu ini diduduki oleh filem Bloodshot dan pada kedudukan keempat carta minggu ini, dipegang oleh filem yang menduduki kedudukan kedua carta minggu lepas, The Invisible Man. Filem ini mendapat kutipan sebanyak AS$6 juta bagi hujung minggu ini.
Secara kesimpulannya, carta pecah panggung ini mengalami penurunan yang ketara disebabkan penularan wabak COVID-19. Jualan tiket di Amerika Utara mencecah paras terendahnya dalam lebih daripada dua dekad, yang menjana kira-kira AS$55.3 juta antara hari Jumaat dan Ahad.
Pecah panggung antarabangsa telah mencatatkan penurunan besar kerana kebanyakan pawagam di China, Itali, Korea Selatan dan kawasan-kawasan lain yang terkena virus tersebut telah sepenuhnya atau sebahagiannya terpaksa ditutup selama beberapa minggu. Dua rangkaian pawagam terbesar, AMC dan Regal serta beberapa yang lain seperti Alamo Drafthouse dan Arclight, terpaksa mengurangkan kapasiti dalam pawagam sebanyak 50 peratus untuk mengelakkan penyebaran penyakit tersebut. Penjualan tiket juga terpaksa dikurangkan dan ruang tempat duduk terpaksa dijarakkan di antara baris dan tempat duduk untuk memastikan para pelanggan mempunyai ruang yang mencukupi.
“Kesan daripada keadaan ini tidak pernah berlaku dalam industri.
“Setentunya, kapasiti pawagam berkurangan dan keadaan sentiasa berubah, mengalami hujung minggu yang sangat mencabar,” jelas Paul Dergarabedian, penganalisis media kanan ComScore.
Justeru, akibat daripada penularan virus itu, penonton lebih memilih untuk tinggal di dalam rumah sebagai usaha pencegahan COVID-19.