Konsert meraikan dua dekad kumpulan popular British, Blue, bulan depan diteruskan biarpun salah seorang anggotanya, Lee Ryan terbabit dalam kes salah laku perkauman dan kekerasan, baru-baru ini.
Penganjur yang juga pengasas Honeymoon, Kesavan Purusotman, berkata, setakat ini tiada perubahan dimaklumkan pengurusan Blue dan konsert berkenaan diteruskan seperti biasa.
“Seperti yang ramai sedia maklum, Ryan terbabit dalam kes berkaitan undang-undang di United Kingdom (UK). Tetapi, setakat ini, tidak ada perubahan untuk siri jelajah Blue.
“Mereka melakukan siri jelajah ke beberapa negara di Asia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Kami, selaku penganjur tidak ada sebarang maklumat terperinci berkaitan kes itu,” katanya.
Kesavan atau lebih dikenali sebagai KC berkata, pihaknya dimaklumkan kumpulan yang popular dengan lagu All Rise itu akan tampil dengan anggota lengkap, empat orang.

“Dalam perbincangan bersama pihak pengurusan Blue, kami dimaklumkan mereka akan tampil berempat.
“Apa yang saya faham, kalau dalam persembahan berkumpulan, sekiranya ada yang tidak dapat hadir atas isu peribadi, anggota lain akan mengambil alih kekosongan itu,” katanya.
Konsert Blue 20th Anniversary Heart & Soul Tour akan dipentaskan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 10 Februari depan.
Sementara itu, anggota Blue, Simon Webbe tidak sabar untuk menghiburkan peminat menerusi rangkaian konsert jelajah sempena ulang tahun ke-20 kumpulan itu.
Webbe masih teringat sambutan diberi peminat ketika mereka bertandang ke Malaysia pada awal pembabitan sebagai kumpulan vokal.
“Ketika kali pertama kali datang Asia dan kami sempat singgah di Malaysia. Kami terkejut dengan sambutan yang diberi ketika itu. Peminat tunggu kami di lapangan terbang untuk sambut kami.
“Tidak sangka kami ada peminat di negara lain dan sehingga kini, kami tidak akan lupakan kenangan itu,” katanya pada sidang media secara maya, baru-baru ini. – Agensi