Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Excapade cawangan Serusop kini dibuka kepada pelanggan dengan ruangan yang lebih besar, reka bentuk dan suasana yang lebih unik serta mempamerkan logo baharu yang telah dinaiktaraf.
Cawangan baharu Serusop tersebut yang terletak di Jalan Muara itu boleh memuatkan seramai 128 pelanggan dengan empat bilik peribadi di tingkat atas.
Ia telah dibuka secara rasminya pada 29 Januari lalu dan telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada para pelanggan.
Untuk penempatan semula cawangan baharu di Serusop itu, Excapade telah membawakan bluefin tuna yang didatangkan dari Jepun dengan berat sekitar 50kg bersama cef jemputan dari Jepun, Cef Yanagida Tetsuya, untuk melakukan pemotongan langsung bluefin tuna kepada tetamu dan pelanggan mereka.
Sepanjang acara tersebut yang berlangsung sehingga 9 Februari ini, para pelanggan juga berpeluang menikmati menu istimewa tuna yang dibuat oleh Cef Yanagida yang menampilkan sashimi, nigiri, pembuka mulut dan banyak lagi.
Pada masa ini, Excapade mempunyai 13 cawangan, 11 cawangan di Negara Brunei Darussalam dan dua cawangan di Miri.





























