Blues mara ke separuh akhir

SEVIILE, 14 APRIL – Chelsea mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2014 walaupun tewas 0-1 kepada Porto dalam aksi suku akhir pusingan kedua di Sevilla, semalam.

Skuad kendalian Thomas Tuchel akan bertemu menentang Real Madrid atau Liverpool bagi memburu tempat ke final selepas mempamerkan persembahan yang baik untuk meraih kemenangan 2-1 secara agregat.

Taktik Tuchel kelihatan berjaya ketika Chelsea terus bertahan dengan serangan Porto sehingga jaringan akrobatik yang dilakukan oleh Mehdi Taremi yang menakjubkan pada minit-minit terakhir perlawanan.

Namun jaringan yang luar biasa itu tidak dapat menyelamatkan Porto untuk mara ke separuh akhir ketika mereka berusaha untuk mengatasi defisit dari perlawanan pusingan pertama 2-0.

Chelsea hanya tewas sekali dalam 18 perlawanan sejak Tuchel mengambil alih tugas dari Frank Lampard yang dipecat sebagai pada Januari lalu.

Aksi pemain tengah FC Porto, Sergio Oliveira dan pemain Chelsea, N’Golo Kante dan Ben Chilwell ketika merebut bola semasa perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan di Seville semalam. – AFP

“Kami akui ia perlawanan yang sengit. Sukar menentang mereka tetapi kami bertahan dengan baik dan kami sebenarnya layak mengakhiri perlawanan tanpa bolos,” kata Tuchel.

“Sebahagian daripada perlawanan adalah kami tidak membiarkan pasukan lain membuat persembahan dengan baik, sehinggalah jaringan pada minit-minit akhir itu.

“Kami memiliki lebih banyak peluang tetapi pemain gagal memanfaatkannya. Jadi, kami perlu bertahan dan pemain saya berjaya melakukannya.

“Keseluruhannya kami berhak menang. Ia aksi yang sukar sepanjang 180 minit.”

Tuchel akui minggu ini pasukannya berdepan misi getir dan telah pun lulus ujian pertama.

Kini mereka boleh menumpukan kepada aksi separuh akhir Piala FA menentang pendahulu Liga Perdana, Manchester City pada Sabtu ini di Wembley. – AFP