LABUAN, 9 DIS – Acara seni mempertahankan diri terbesar di Borneo, Ekspo Seni Mempertahankan Diri Borneo (BMAEX), kembali selepas dua tahun tidak dianjurkan.
Pengerusi penganjuran BMAEX 2022, Tan Chee Haw berkata 150 peserta melibatkan 20 pasukan dari Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Sabah, Brunei dan Labuan akan mengambil bahagian dalam acara tiga hari itu yang bermula hari ini di Palm Beach Resort and SPA.
Beliau berkata acara itu antaranya akan mengetengahkan pertarungan wusyu wanda, low-kick kickboxing dan acara popular, kickboxing sentuhan penuh. “Kami jangkakan lebih 5,000 orang dari luar Labuan akan memenuhi venue berkenaan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Tan berkata objektif utama BMAEX 2022 adalah menyediakan platform antarabangsa kepada para peserta untuk menimba pengalaman dan menambah baik profil mereka dalam arena seni mempertahankan diri.
Beliau berkata pengasas BMAEX, Alvin Chong dijadual merasmikan acara baharu kickboxing itu di bawah bimbingan Persatuan Karate Sukan Antarabangsa (ISKA) Borneo.
Acara itu bertujuan menyatukan penggiat seni mempertahankan diri, penganjur dan peminat kecergasan dengan mempromosikan nilai positif seni mempertahankan diri. – Bernama