BMEN anjur acara bimbingan usahawan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Bagi membantu para usahawan baharu, seramai 28 menti dan 15 mentor dari pelbagai industri telah mengikuti acara ‘speed mentoring’ pertama yang dianjurkan oleh Rangkaian Mentor untuk Usahawan Brunei (BMEN) di iCentre, Taman Teknologi Anggerek Desa, baru-baru ini.

Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise (DARe), Javed Ahmad yang juga salah seorang mentor di BMEN.

Dalam kenyataan yang diterima, Javed Ahmad berkata, ‘mentorship’ boleh menjadi alat berharga untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengatasi cabaran-cabaran dan peluang dalam landskap perniagaan yang berkembang.

Dengan menampilkan 15 mentor berlainan kepakaran, PMKS boleh memperoleh pandangan baharu bagi mengatasi isu-isu mereka dan berpotensi meneruskan mentorship jangka panjang yang DARe boleh membantu memudahkan menerusi platform BMEN.

Acara yang berlangsung kira-kira sejam itu menyaksikan menti-menti dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk memberikan setiap menti peluang sama rata untuk bertemu mentor yang mungkin berpotensi membantu keperluan perniagaan menyeluruh menti.

BMEN merupakan salah satu inisiatif DARe yang dilancarkan Mac tahun ini yang dihasratkan bagi mempromosi pertumbuhan positif perniagaan-perniagaan Brunei terutamanya peringkat awal PMKS dengan menghubungkan mereka kepada mentor perniagaan menerusi program mentorship yang berstruktur dan diselaraskan dengan baik.

Dr Sophiana Chua bercakap kepada salah seorang menti pada acara tersebut.