BMEN bimbing PMKS maju

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Hakikat dalam mengembang majukan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) amatlah penting bagi memacu inovasi dan membangunkan ekonomi dinamik dengan pertumbuhannya harus dipupuk secara strategik dalam pelbagai peringkat kitaran perniagaan.

“Maka, dalam usaha untuk mengembangkan dan mengekalkan PMKS sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara, kita perlu terus bekerjasama melaksanakan program pembangunan berstruktur dan diselaraskan dengan lebih baik untuk mendukung dan merangsang pertumbuhannya.”

Perkara itu disuarakan oleh tetamu kehormat, Setiausaha Tetap (Perindustrian) di Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan yang juga ahli lembaga Darussalam Enterprise (DARe) semasa melancarkan Rangkaian Mentor untuk Usahawan Brunei (BMEN), bertempat di Dewan 1 Bridex, Jerudong, hari ini.

Menurutnya lagi, penubuhan BMEN hasil kerjasama rapat DARe dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Brunei (ASEAN-BAC Brunei) itu adalah untuk mengumpulkan mentor perniagaan bagi menyediakan ‘mentorship’ dalam memajukan dan membawa PMKS ke barisan hadapan pertumbuhan ekonomi.

Pengiran Haji Mohd Hasnan menyampaikan ucapannya sempena pelancaran BMEN di Dewan 1 Bridex, Jerudong.
Pengiran Haji Mohd Hasnan bergambar ramai bersama tetamu yang hadir, kelmarin.

“Penubuhan BMEN bagi mengumpul mentor perniagaan bersama-sama untuk menyediakan bimbingan perniagaan adalah tepat pada masanya kerana kami berusaha untuk memajukan dan membawa PMKS kita ke barisan hadapan bagi pertumbuhan ekonomi kita,” jelas Pengiran Haji Mohd Hasnan.

“Para mentor mungkin berasal dari pelbagai latar belakang, pengetahuan dan kepakaran. Tetapi dengan latar belakang yang luas di BMEN inilah yang akan mengurangkan halangan bagi PMKS untuk mendapatkan akses kepada sokongan dan bimbingan yang tepat daripada kami.

“Dengan usaha dan penyelarasan yang berterusan, BMEN boleh menjadi penukar permainan untuk pemilik perniagaan mikro, kecil dan sederhana kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk bertemu dan belajar daripada mereka yang telah menubuhkan reputasi dalam bidang masing-masing,” tekan Pengiran Haji Mohd Hasnan lagi.

Menurutnya lagi, inisiatif rakan kongsi awam-swasta ini menunjukkan ia sebagai alat utama bukan saja dalam menyampaikan isu-isu penting yang dihadapi oleh PMKS namun juga mengeksploitasi peluang bagi pertumbuhan dalam pendekatan holistik.

“Dengan sokongan program pembangunan kapasiti DARe yang sedia ada, saya telah menyaksikan usahawan-usahawan mentransformasikan idea-idea mereka menjadi pelan perniagaan yang berjaya.

“Bagaimanapun kita mahu melakukan lebih lagi dalam memastikan yang perusahaan itu mencapai potensi penuh dengan memberikan sokongan dan tunjuk ajar yang betul bagi membantu memupuk kepintaran perniagaan dan kukuh,” ujarnya lagi.

Terdahulu, acara telah bermula dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Penasihat Perniagaan dan Perkhidmatan DARe, Dayang Nor Lela binti Suhailee, di mana beliau menekankan perlunya mengumpulkan sejumlah mentor perniagaan yang dapat memberikan bimbingan yang berkualiti dan berkesan bagi membimbing dan menyokong perniagaan kecil dan di peringkat awal yang akan akhirnya menjadi mentor dan pemimpin generasi perniagaan pada masa depan.

BMEN adalah platform sukarela yang menyatukan para mentor perniagaan yang terdiri daripada usahawan yang berjaya, pakar industri, profesional dan ahli akademik daripada pelbagai industri dan latar belakang perniagaan, yang bersedia berkongsi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman mereka, dan memberikan bimbingan dalam bidang berkaitan perniagaan.

Ini adalah selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Persidangan Khas Menteri-menteri Kabinet yang diadakan pada 7 Februari 2018 yang menegaskan keperluan untuk membantu dan membimbing usahawan kita untuk memulakan dan mengurus perniagaan mereka sehingga berjaya, yang mana adalah penting kerana tidak semua usahawan mempunyai ketajaman perniagaan yang diperlukan.

Daripada perkongsian tip-tip dan idea untuk memberi bimbingan dan membangunkan perkongsian perniagaan yang berpotensi, BMEN bertujuan untuk bertindak sebagai inisiatif yang menggalakkan pertumbuhan perniagaan Brunei yang positif, terutamanya pada peringkat awal dan PMKS dengan menghubungkan mereka dengan mentor perniagaan melalui program bimbingan yang berkesan dan berstruktur.