Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Syarikat QAF Auto Sdn Bhd hari ini memperkenalkan model terbaru iaitu BMW 420i Gran Coupe dan BMW 430i Gran Coupe bagi menambah barisan model di bawah model 4 Series.
Keluaran 4 Series versi facelift ini lebih anggun menampakkan kepada kemewahan dan kedinamikan sebagai kereta berkualiti tinggi.
Model kereta yang dibina di Loji Kumpulan BMW di Dingolfing itu memberi penambahan pintu belakang bagi penampilan yang lebih kemas.
Model 4 Series terbaru ini juga dilengkapi dengan lampu depan LED berbentuk heksagon berhampiran dengan gril depan berbentuk bawah pinggang menandakan simbol BMW yang digunakan di kesemua model-model BMW.
Model terbaru ini mempunyai pelbagai kelebihan daripada segi reka bentuk dan berat badan yang lebih ringan di bawah konsep BMW ‘Efficient Lightweight’ yang menggunakan aluminium dipertingkatkan dan besi menggunakan high-strength steel.
Kedua-dua model tersebut menyalurkan kuasa melalui Enjin 2.0 liter 4 silinder sebaris di dalam BMW 420i dan 430i dengan bantuan unit kuasa BMW Efficient Dynamics Family yang mana kesemua model dilengkapi dengan teknologi BMW Twin Power Turbo dengan Twin Scroll Turbocharger memberikan prestasi menakjubkan.
Dengan transmisi automatik 6 kelajuan BMW 420i Gran Coupe dimuatkan dengan 184 kuasa kuda, manakala BMW 430i Gran Coupe dengan 252 kuasa kuda.
Sistem kestabilan pemanduan kereta BMW turut dilengkapi Dynamic Traction Control (DTC), Cornering Brake Control (CBC), bantuan Start/Off. Dari segi kelengkapan keselamatan, model ini dilengkapi beg udara untuk pemandu dan penumpang depan, beg udara tepi bagi pemandu depan dan penumpang depan, beg udara kepala, sensor impact, indikasi tekanan angin tayar.
Orang ramai boleh mengunjungi Bilik Pameran BMW, QAF Auto Sdn Bhd untuk menyaksikan keluaran BMW 4 Series versi Facelift terbaru dan membuat tempahan uji pandu.