BMW bina Mini elektrik di China

FRANKFURT AM MAIN, 29 NOV – Pengeluar kereta mewah Jerman BMW berkata hari ini ia akan membina model elektrik kereta Mini di sebuah kilang baharu di China, tatkala ia memulakan usaha sama bersama dengan rakan China Great Wall Motor.

Kira-kira 160,000 kereta setahun dijangka dikeluarkan dari kilang pemasangan di kilang yang dirancang dibina di bandar Zhangjiagang di wilayah Jiangsu, yang akan menggaji 3,000 pekerja.

Pembinaan kilang dijangka berlangsung dari 2020 hingga 2022, kata BMW dalam satu kenyataan.

Kedua-dua rakan melabur bersama 650 juta euro dalam projek itu.

Selain kereta elektrik Mini BMW, syarikat China juga akan membina model jenamanya sendiri di kilang tersebut.

Kereta sport M8 BMW dipamerkan pada acara AutoMobiliti LA pada Pameran Kereta Los Angeles 2019 di Los Angeles, California pada 21 November. BMW berkata kelmarin ia akan membina model elektrik kereta Mini di sebuah kilang baharu di China dengan usaha sama dengan Great Wall Motor. – AP

“Ia adalah satu lagi langkah penting ke arah masa depan jenama elektrik Mini,” menurut kenyataan.

Kumpulan BMW telah pun mengumumkan ia akan memulakan pengeluaran kereta padat versi elektrik pertama di kilang Mini di Oxford, England pada bulan ini.

Model Mini E pertama dijangka dikeluarkan di pasaran pada awal tahun depan.

Gabungan China keluar tatkala BMW menyertai pengeluar kereta global lain dalam mempercepat peralihan kepada kenderaan elektrik dAan hibrid, didorong oleh isu alam sekitar.

Kos yang mahal untuk kereta lebih bersih, lebih pintar menjejas teruk pengeluar kereta pada masa apabila industri global sedang bergelut dengan kesan prospek ekonomi yang suram.

China ialah pasaran kereta terbesar dunia namun selepas pertumbuhan kukuh bertahun lamanya, jualan kereta di sana merosot pada tahun lalu untuk kali pertama sejak 1990.

Di seluruh dunia, BMW telah menetapkan matlamat memiliki lebih satu juta kenderaan elektrik dan hibrid di jalan raya pada akhir tahun 2021.

Permintaan untuk kereta elektrik BMWi3 telah melonjak kira-kira 20 peratus pada tahun ini berbanding 2018, katanya. – AFP