BMW Edisi Dark Shadow serlah karisma eksklusif

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – BMW telah mengumumkan model X7 edisi Dark Shadow yang tampak mengagumkan dan mengetengahkan karisma eksklusif.

BMW X7 adalah kenderaan sport aktiviti (SAV) pertama dalam segmen mewah yang menggabungkan keselesaan dalaman dengan gaya sportif jenama mewah berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, dengan rekaan dan ciri-ciri peralatan BMW Individual yang unik, BMW X7 Edition Dark Shadow mengetengahkan penampilan sportif dan suasana mewah SAV berkenaan.

Ciri paling menyerlah edisi istimewa ini adalah kemasan warna khas BMW Individual dalam warna metalik Frozen Arctic Grey yang pertama kali digunakan dalam model BMW X.

Kemasan hitam berkilat digunakan pada bahagian trim pintu, tiang-tiang B dan C, pelindung cermin pandang belakang, susur bumbung dan gril utama bagi menyerlahkan lagi imejnya.

BMW X7 edisi Dark Shadow mengenakan warna khas BMW Individual dalam warna metalik Frozen Arctic Grey yang pertama kali digunakan dalam model BMW X7.

Bukan itu sahaja, ia juga bakal dilengkapi dengan sistem ekzos M-Sport dan diberi kemasan krom gelap.

Penampilannya diserikan lagi dengan penggunaan M V-spoke 22-inci berwarna Jet Black matte dan tayar-tayar run flat prestasi tinggi.

BMW X7 Edition Dark Shadow dihasilkan di fasiliti pembuatan global BMW di Spartaburg bermula Ogos ini.

Ia bukan hanya untuk pasaran tempatan atau Eropah malah untuk seluruh dunia dengan 500 unit akan dihasilkan.

Edisi ini akan dilengkapi dengan segala peralatan standard dan pilihan komprehensif yang tidak termasuk pakej-pakej lainnya.