BMW X3, X4 dilancar

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – QAF Auto, pengimport tunggal kereta BMW di Brunei hari ini mengadakan pelancaran BMW X3 dan BMW X4 baharu di bilik pamerannya dan seterusnya memperkenalkan pakej model BMW X3 xDrive20i dan BMW X4 xDrive20i M Sport.

Majlis pelancaran juga diserikan dengan  penyerahan MacBook Pro 16” oleh QAF Auto kepada pelanggan pertama BMW X3 baharu, Hajah Aidah Silmi Millatina binti Mohd Noh yang disaksikan oleh Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo.

Awang Aale bin Saufi, suami Hajah Aidah ketika ditemui berkata, BMW X3 xDrive20i sudah tentunya menjadi pilihan pertama mereka sebagai suami isteri disebabkan mereka percaya dengan prestasi kereta tersebut.

Selaku pelanggan pertama, beliau bersama isteri mengucapkan ribuan terima kasih atas hadiah yang diberikan. BMW X3 sDrive20i dilengkapi enjin empat silinder 2.0 liter B48 BMW Twin Turbo dengan gandingan transmisi 8 kelajuan automatik Steptronic dengan fungsi Automatic Hold.

Roda belakang pula dipacu kuasa 186 PS / 300 Nm.

Keseluruhan kuasa ini mampu dipindahkan dengan lebih mudah melalui ujian pecutan 0-100 km/j yang dapat dicapai dalam masa 8.2 saat. Kelajuan maksimum pula mencecah 215km/j.

Kedua-dua model baharu itu kini tersedia untuk tontonan di bilik pameran BMW dan unit pandu uji akan tersedia pada minggu-minggu akan datang.

Orang ramai yang berminat untuk menempah pandu uji dialu-alukan untuk membuat temu janji terlebih dahulu. Bilik pameran akan dibuka pada Ahad 9 Januari dari 10 pagi hingga 5 petang sempena pelancaran berkenaan.

Alisa Khoo bergambar bersama Hajah Aidah Silmi Millatina (tengah) dan suami, Awang Aale pada majlis pelancaran BMW X3 dan X4 di Bilik Pameran BMW, Beribi.
Model BMW X4 yang dilancarkan kelmarin. – Gambar oleh Bahyiah Bakir
Pengunjung melihat model BMW X3 yang dipamerkan di Bilik Pameran BMW di Beribi.
Ruang dalaman kereta X3 yang moden dan canggih.