Bob AF bosan lagu putus cinta

Bosan dengan lagu putus cinta menyebabkan penyanyi, Bob AF tampil dengan single mengisahkan kebahagiaan pasangan yang berakhir ke jenjang pelamin.

Bob atau nama sebenarnya, Yusrizan Usop mengharapkan single berjudul Dan Hari Ini itu menjadi pilihan bagi pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga.

“Terlalu sangat dihidangkan dengan lagu kisah cinta tak kesampaian. Saya mahukan lirik lebih positif.

“Justeru, saya minta penulis lirik, Iman Imran menghasilkan lirik yang mengisahkan pasangan bercinta yang akhirnya berjaya melangkah ke gerbang perkahwinan.

“Jika boleh saya mahu lagu Dan Hari Ini didendangkan pada majlis perkahwinan kerana saya juga sering mendapat undangan menyanyi di hadapan mempelai.

“Dan jika diizinkan, mungkin saya akan muncul pada majlis perkahwinan pasangan mempelai yang bertuah, sambil menyampaikan lagu ini. Kiranya satu kejutan buat mereka,” katanya kepada BH Online.

Mengambil masa selama tiga tahun untuk muncul dengan lagu baharu, bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim kedua itu menjelaskan, situasi berlaku kerana dia mahu mencari melodi yang mampu menyentuh hati.

“Tak dinafikan, saya menerima banyak lagu tetapi terpaksa ditolak kerana tak sesuai dengan cita rasa. Saya hanya akan pilih lagu yang berjaya menangkap jiwa ketika pertama kali mendengarnya.

“Saya ada dua lagu yang akan menyusul selepas ini. Nantikan,” ujar penyanyi berusia 38 tahun ketika ditemui pada majlis pra dengar lagu Dan Hari Ini, baru-baru ini.

Lagu ciptaan Sharon Paul itu sudah boleh didapati di semua pelantar digital. – Agensi

Bob AF tampil dengan single mengisahkan kebahagiaan pasangan yang berakhir ke jenjang pelamin kerana bosan dengan lagu putus cinta. – Agensi