BoBoiBoy Movie 2 finalis NYAFA

Filem animasi tempatan, BoBoiBoy Movie 2 berjaya muncul sebagai finalis bagi kategori Animasi 3D Terbaik di New York Animation Film Awards 2020 (NYAFA).

Biarpun tidak menggondol sebarang trofi pada acara berprestij anjuran Cinematography Awards Foundation di New York itu, namun Pengarah Urusan Animonsta Studios Sdn Bhd, Nizam Razak menganggap ia satu pencapaian besar buat produk keluaran syarikatnya.

“Bagi kami, bergelar finalis bagi kategori Filem Animasi 3D Terbaik sudah cukup membanggakan. Kemenangan itu bonus, tetapi yang lebih penting, dapat menembusi senarai akhir anugerah berprestij dan bertaraf antarabangsa.

“Produk keluaran kami mungkin sudah dikenali di negara serantau, tetapi menjadi cita-cita melihat nama Animosta dikenali secara global. Demi merealisasikan impian, kami menyertai pelbagai festival dianjurkan di luar negara sebagai permulaan.

“Dengan menyertai pelbagai festival di peringkat antarabangsa, sedikit sebanyak peserta dan penganjur mengenali serta mengetahui kewujudan produk syarikat kami. Ia seperti pemasaran untuk Animosta,” kata Nizam kepada BH Online.

Terdahulu, BoBoiBoy 2 pernah melakar kejayaan apabila memenangi Poster Terbaik dan Trailer Terbaik di Festival Filem Laurus di Rusia, baru-baru ini. – Agensi

Biarpun filem BoBoiBoy Movie 2 hanya terpilih sebagai finalis, ia satu pencapaian besar apabila dapat menembusi New York Animation Film Awards 2020. – Agensi