PARIS, 11 APRIL – Syarikat BOC Aviation yang berpangkalan di Singapura telah menempah 80 pesawat A320neo Family dari Airbus, kata pengilang Eropah hari ini, satu kontrak yang dianggarkan bernilai hampir AS$10 bilion.
“BOC Aviation sebuah syarikat pemberi pajak operasi pesawat global….telah menandatangani tempahan kukuh sebanyak 80 pesawat A320neo Family mengandungi 10 buah A321XLR, 50 A321neo dan 20 A320neo,” kata Airbus.
Menurut harga katalog yang diperolehi, perjanjian itu bernilai hampir AS$10 bilion, walaupun perjanjian seumpamanya biasanya tertakluk kepada diskaun.
BOC Aviation berkata ia menjangkakan pesawat itu akan dihantar antara tahun 2027 dan 2029.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Robert Martin berkata ia adalah tempahan terbesar tunggal yang BOC Aviation meterai.

Syarikat itu sudah membeli sebanyak 546 pesawat Airbus sejak mula beroperasi, kata Martin.
BOC Aviation yang disenarai dalam pasaran saham Hong Kong berkata pada masa ini memiliki 530 pesawat, yang disewakannya kepada 73 syarikat penerbangan di seluruh 36 buah negara dan rantau.
Perjanjiannya dengan Airbus membolehkannya untuk menggandakan tempahan bersih sejak permulaan 2022.
Airbus berharap dapat menghantar 720 pesawat pada tahun ini, berbanding 611 tahun lalu.
Airbus berkata keseluruhannya ia telah mencapai lebih 7,900 tempahan daripada lebih 120 pelanggan bagi pesawat A320neo Family, yang menyaingi 737 MAX Boeing.
Syarikat itu berkata ia telah menghantar lebih 2,100 pesawat A320neo sejak pesawat itu berkhidmat enam tahun lalu. – AFP