Boeing 737 MAX jalani ujian penerbangan

NEW YORK, 29 JUN – Pesawat Boeing 737 MAX akan menjalani ujian penerbangan pertamanya bermula Isnin, satu langkah penting bagi kemandirian model syarikat itu yang telah digantung operasinya selama 14 bulan.

Dua sumber dekat dengan kes itu memberitahu AFP pada Jumaat yang penerbangan itu akan diadakan pada awal minggu berikutnya.

Sama ada Boeing mahupun Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) tidak mengesahkan penerbangan itu apabila ditanya untuk mengulas mengenainya kelmarin.

“Kami terus bekerja teliti berhubung pengembalian perkhidmatan selamat 737 MAX. Kami mengikut peraturan global dan FAA berkaitan proses-prosesnya,” kata jurucakap Boeing kepada AFP.

MAX telah digantung perkhidmatannya seluruh dunia sejak 13 Mac 2019 berikutan nahas Ethiopia Airlines yang mengorbankan 157 orang.

Bencana itu muncul beberapa bulan selepas nahas Lion Air MAX mengorbankan 189 orang.

Masalah serupa antara dua kemalangan itu, kedua-duanya berlaku sejurus berlepas, dengan ketidakupayaan juruterbang untuk mengawal pesawat tersebut, membawa pihak berkuasa penerbangan menangguhkan model itu pada tempoh tidak pasti.

Selama berminggu-minggu, Boeing telah menunggu lampu hijau daripada pihak berkuasa untuk menjalankan ujian penerbangan bagi meluluskan pengubahsuaian demi keselamatan maksimum.

Bagaimanapun, pihak berkuasa penerbangan awam tidak meluluskan model yang diubahsuai sehingga mereka memeriksa bagaimana prestasinya semasa terbang.

Mereka juga akan melihat ribuan poin data yang dikumpulkan semasa penerbangan itu.

Atas sebab itu, tiga hari ujian penerbangan telah dirancang, menurut New York Times.

Mereka akan berlepas dari Lapangan Boeing, di luar Seattle, tempat pengilangan di barat laut negeri Washington, AS.

Cuaca sukar untuk diramalkan, namun peramal kaji cuaca menunjukkan Isnin akan mengalami sedikit berawan dengan tiupan angin sederhana dan 10 peratus peluang untuk hujan. – AFP