Boeing buat perubahan keselamatan

WASHINGTON, 15 Mei – Selepas nahas di Indonesia, juruterbang American Airlines telah mengadakan mesyuarat untuk mendesak eksekutif Boeing supaya membuat perubahan keselamatan kepada model pesawat udara 737 MAX, lapor media AS semalam.

Perubahan tersebut, yang mungkin memerlukan model pesawat udara itu dihentikan penerbangan buat sementara waktu, dilaporkan oleh akhbar The New York Times dan CBS News selepas mereka memperoleh rakaman audio dalam mesyuarat pada 27 November di antara kesatuan juruterbang American Airlines dan pegawai daripada pembuat pesawat udara itu.

Kapal terbang 737 MAX buat masa sekarang tidak dibenarkan terbang di seluruh dunia selepas nahas Penerbangan 302 Ethiopian Airlines pada Mac yang membunuh kesemua 157 penumpang dan sistem anti-pegun model Boeing baharu telah menjadi tumpuan, yang dipercayai oleh penyiasat mungkin menyebabkan jet terhempas.

Namun mesyuarat menunjukkan juruterbang telah pun bimbang mengenai keselamatan model berkenaan ekoran nahas Lion Air 737 MAX 8 di Indonesia pada Oktober 2018 yang membunuh kesemua 189 penumpang.

Menurut laporan, juruterbang bimbang dengan sistem anti-pegun MCAS yang dipersalahkan oleh penyiasat di Indonesia dan Habsyah atas nahas yang berlaku.

“Tidak ada sesiapa yang telah membuat kesimpulan bahawa satu-satunya punca nahas adalah fungsi sistem ini dalam kapal terbang,” beritahu Mike Sinnett pada mesyuarat. – AFP