Boeing lanjut penutupan sementara kilangnya

MOSCOW, 6 APRIL – Pembuat kapal terbang Amerika Syarikat, Boeing, mengumumkan penggantungan kerja di kilang dan pejabat di Puget Sound, Washington dilanjutkan hingga notis mengenainya dikeluarkan, lapor agensi berita Sputnik.

Pada 23 Mac, Boeing menyatakan, ia menutup operasi pengeluaran untuk sekurang-kurangnya dua minggu dan pekerja yang tidak dapat bertugas dari rumah, turut dibayar gaji.

“Boeing telah melanjutkan penggantungan sementara itu di semua kawasan Puget Sound dan Tasik Moses hingga pengumuman lanjut dikeluarkan.

“Keputusan dibuat ketika syarikat terus fokus melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja, penilaian terhadap keadaan semasa penularan wabak COVID-19 di Washington, keupayaan rantaian bekalan serta cadangan lain daripada pihak berkuasa kesihatan,” memetik kenyataan syarikat.

Menurut akhbar The Seattle Times, seramai 70,000 orang bekerja di kemudahan itu.
Keputusan berkenaan bakal menjejaskan kira-kira 30,000 pekerja. Mereka boleh bekerja dari rumah, akan terus dibenarkan bertugas.

Pada masa sama, stesen televisyen CNBC memetik jurucakap syarikat mengatakan 135 pekerja Boeing dijangkiti COVID-19.

Washington terletak di barat laut Amerika, kawasan paling teruk dilanda wabak dengan 7,984 kes positif dan 338 kematian, menurut data Jabatan Negara Washington. – Bernama