Boeing perbaiki perisian simulator

NEW YORK, 19 Mei – Boeing mengaku semalam ia terpaksa membetulkan kerosakan dalam perisian simulator penerbangan 737 MAX yang digunakan untuk melatih juruterbang, selepas dua nahas yang membabitkan pesawat udara yang membunuh 346 orang.

“Boeing telah membuat pembetulan kepada perisian simulator 737 MAX dan telah memberikan maklumat tambahan kepada operator peranti untuk memastikan pengalaman simulator adalah contoh representatif keadaan penerbangan berlainan,” katanya dalam satu kenyataan.

Syarikat tidak menyatakan bila ia pertama kali mengetahui tentang masalah itu, dan sama ada ia menghubungi pengawal selia.

Kenyataannya menandakan kali pertama Boeing mengaku terdapat kecacatan reka bentuk dalam perisian yang dikaitkan dengan 737 MAX, di mana perisian anti-pegun MCAS sebahagian besar bertanggungjawab atas tragedi Ethiopian Airlines.

Menurut Boeing, perisian simulator penerbangan gagal menghasilkan keadaan penerbangan tertentu yang sama dengan masa berlakunya nahas Ethiopian Airlines pada Mac atau nahas Lion Air pada Oktober.

Dalam gambar yang diambil pada 12 Mac 2019 menunjukkan pekerja berada bersebelahan kapal terbang Boeing 737 MAX 9 di landasan terbang di Kilang Boeing Renton di Renton, Washington. Boeing mengaku ia telah membetulkan kerosakan dalam perisian simulator penerbangan yang digunakan untuk melatih juruterbang. – AFP

Syarikat berkata “perubahan terbaharu akan mempertingkat simulasi beban kekuatan di roda manual,” roda manual yang jarang digunakan untuk mengawal sudut kapal terbang.

“Boeing sedang bekerjasama dengan pengeluar peranti dan pengawal selia mengenai perubahan dan peningkatan berkenaan, dan memastikan latihan pelanggan tidak terganggu,” tambahnya.

Boeing berkata pada Khamis ia telah selesai mengemaskini perisiannya untuk 737 MAX.

Penyelesaian masalah dengan sistem pengendalian penerbangan yang dipercayai menjadi faktor dalam kedua-dua nahas, kini mesti menerima kelulusan dari AS dan pengawal selia antarabangsa sebelum kapal terbang boleh meneruskan perkhidmatan.

Syarikat penerbangan AS telah menyasarkan Ogos sebagai tarikh yang dijangka oleh mereka untuk meneruskan penerbangan 737 MAX. – AFP