Boeing tidak perlu bantuan kerajaan AS

NEW YORK, 1 MEI – Boeing kelmarin berkata mereka tidak akan meminta bantuan dari kerajaan Amerika Syarikat (AS) selepas memperoleh minat yang tinggi dari pasaran bon untuk tawaran awam bernilai AS$25 bilion.

Syarikat gergasi penerbangan, yang telah terjejas teruk akibat impak penutupan syarikat penerbangan global, berkata permintaan untuk tawaran bon adalah ‘memberangsangkan’.

“Kami tidak merancang untuk mendapatkan pembiayaan menerusi pasaran modal atau kerajaan AS pada masa ini,” menurut kenyataan syarikat, menambah ia menjangkakan tawaran bon akan selesai pada 4 Mei. Tawaran termasuk tujuh pinjaman bon yang luput di antara 2023 dan 2060. Sekuriti yang difailkan kelmarin tidak menyenaraikan kadar faedah.

Pengumuman dibuat sehari selepas Boeing melaporkan kerugian sebanyak AS$641 juta pada suku pertama dan berkata ia akan mengurangkan 10 peratus tenaga kerjanya dalam respons terhadap krisis dalam industri penerbangan disebabkan penutupan COVID-19.

S&P menurunkan pemeringkatan kredit Boeing pada Rabu lalu berikutan keputusan tersebut, yang turut menunjukkan kesan yang berpanjangan penggantungan penerbangan pesawat 737 Max berikutan dua kemalangan.

Akta CARES, pakej bantuan AS bernilai AS$2 trilion yang diluluskan pada Mac, telah memasukkan AS$17 bilion khusus untuk Boeing. Ia adalah sebahagian langkah Washington untuk menyokong ekonomi AS. – AFP

Boeing berkata mereka tidak akan meminta bantuan dari kerajaan AS selepas menerima permintaan yang tinggi dari pasaran bon untuk tawaran awam bernilai AS$25 bilion. – AFP