BUKIT KAYU HITAM, 7 Mac – Boeing yakin akan mencatatkan pertumbuhan pada 2019 disebabkan oleh beberapa faktor seperti kadar pengeluaran yang lebih tinggi dan penyertaannya ke dalam segmen perkhidmatan akan membolehkan pengeluar pesawat itu bertahan daripada kitaran permintaan pasaran.
Naib Presiden Asia Tenggara, Ralph L Skip Boyce berkata kumpulan itu telah mewujudkan Perkhidmatan Global Boeing (BGS) dengan membawa masuk elemen perkhidmatan daripada segmen pertahanan dan pesawat komersilnya.
Segmen BGS memberikan penyelesaian perkhidmatan yang lengkap serta penjimatan kos untuk pelanggan komersil, pertahanan dan aeroangkasa, tanpa mengambil kira pengeluar peralatan asal pelanggan dan ini akan membawa banyak peluang perniagaan baharu.
“Jadi, terdapat tiga unit perniagaan (komersil, pertahanan serta BGS) dan kami berharap kami dapat menunjukkan kepada pasaran yang kami boleh mengatasi kitaran perniagaan mulai sekarang, disebabkan kami masih dilihat sebagai sebuah syarikat pembuatan berkitar pada abad ke 20.
“Sejarah memang begitu tetapi kami tidak rasa, ianya akan terus kekal pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas meraikan pengeluaran komponen ke 1.5 juta Aerospace Composites Malaysia Sdn Bhd (ACM) hari ini.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Raja Kedah, Sultan Sallehuddin Badlishah. Hadir sama ialah Putera Mahkota Tengku Sharafudin Badlishah Sallehuddin dan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
ACM merupakan sebuah syarikat usaha sama 50: 50 antara Boeing dan Hexcel, sebuah syarikat bahan industri awam dari Amerika Syarikat (AS).
Dari segi pengeluaran, Boyce berkata Boeing telah mengatasi pesaingnya pada tahun lepas, ia mencatatkan pertumbuhan digit tunggal dan rekod hasil sebanyak AS$101 bilion walaupun dalam keadaan pasaran global yang mencabar.
Boeing mahu mendapatkan hasil sebanyak AS$200 bilion menjelang 2025, di mana 50 peratus akan diperoleh melalui segmen komersil. BGS dan pertahanan, masing-masing akan menyampaikan 25 peratus.
Boyce berkata industri aeroangkasa global dijangka menjadi sebuah pasaran bernilai AS$15 trilion dalam tempoh 20 tahun akan datang, dunia memerlukan 42,700 pesawat baharu yang bernilai AS$6.3 trilion dan tambahan, AS$8.8 trilion dalam bentuk perkhidmatan selepas jualan.
“Asia Tenggara kekal menjadi pasaran yang sentiasa berkembang dengan 4,500 pesawat baharu bernilai US$690 bilion untuk dihantar ke rantau ini dalam tempoh 20 tahun.” – Bernama

































