Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Boko Haram bunuh 14 pembalak

    KANO, Nigeria, 1 Mei – Pemberontak Boko Haram telah membunuh 14 pembalak ketika mereka mengumpul kayu api di timur laut Nigeria, beritahu penduduk dan militia anti-Boko Haram kepada AFP.

    Mayat lelaki-lelaki berkenaan ditemui di kampung Duwabayi berhampiran bandar garison Monguno di negeri Borno lewat semalam oleh pembalak lain.

    “Mayat 14 lelaki dipindahkan ke balai polis di Monguno selepas beberapa orang melaporkan ternampak mayat,” kata pemimpin militia di bandar itu.

    Kampung Duwabayi sunyi dan kosong pada tahun lalu selepas penduduk melarikan diri ke kem di Monguno disebabkan serangan Boko Haram.

    Pemberontak yang setia dengan IS itu diketahui beroperasi di kawasan tersebut.

    “Empat belas mayat dibawa ke Monguno pada petang ini dan orang telah pergi ke balai polis untuk melihat sama ada mereka dapat mengenal pasti dan mengecam mayat-mayat,” kata penduduk Monguno Kulo Gana.

    Seorang lagi penduduk, Bunami Mukhtar, berkata mayat-mayat mempunyai “luka tembakan.”

    Pembalak adalah antara beribu-ribu orang yang mendapatkan perlindungan di kem di bandar berkenaan selepas kehilangan tempat tinggal akibat serangan Boko Haram.

    Mereka yang berada dalam kem bergantung kepada bantuan makanan tetapi sesetengahnya beralih kepada kerja-kerja bercucuk tanam, demi menjual untuk membeli hasil keluaran tambahan.

    Monguno, 135 kilometer dari utara Maiduguri, ibu negeri Borno, menempatkan sebuah pangkalan tentera.

    Bandar itu telah berkali-kali diserang oleh Boko Haram, yang telah membuat beberapa percubaan untuk menakluki pangkalan tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda