Wednesday, April 24, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Bola ‘Hand of God’ bakal dilelong

    LONDON, 14 OKT – Bola yang digunakan legenda bola sepak Argentina, mendiang Diego Maradona untuk menjaringkan gol popularnya, ‘Hand of God‘ ketika menentang England pada Piala Dunia 1986 bakal dilelong bulan depan dengan anggaran harga £3 juta.

    Bidaan bakal bermula pada 16 November tetapi bakal pembeli boleh mendaftar secara dalam talian mulai 28 Oktober, kata Graham Budd Auctions di London, sambil menjangkakan bola tersebut bakal dilelong pada harga £2.5 hingga £3 juta (sehingga AS$3.4 juta).

    “Dengan sejarah bola ini, kami jangkakan lot ini akan jadi terlalu popular semasa hari bidaan,” kata pengerusi rumah lelongan, Graham Budd, di dalam satu kenyataan.

    Perlawanan suku akhir 1986 antara Argentina dan England menyajikan babak-babak yang panas kerana ketegangan politik disebabkan oleh perang Falklands dan juga gol yang disumbangkan oleh mendiang Maradona.

    Untuk gol yang pertama, Maradona lari ke dalam kotak, bersaing dengan penjaga gol England, Peter Shilton, dan menumbuk bola ke dalam gawang.

    Dia kemudiannya berkata gol tersebut, “Sebahagiannya dari kepala Maradona, sebahagiannya dari hand of God.”

    Gol yang kedua pula terhasil hanya empat minit selepas itu apabila Maradona berlari melepasi lima pemain pertahanan England dan Shilton untuk membuat gol terbaik abad ini, menurut undian FIFA 2002.

    Argentina menang 2-1 dalam perlawanan tersebut selepas pengadil, Ali Bin Nasser membenarkan gol kontroversi Maradona, dan pasukan itu mara seterusnya memenangi Piala Dunia. – AFP

    Gambar fail yang diambil pada 22 Jun 1986 menyaksikan Maradona (kanan) bersaing dengan pemain pertahanan England, Gary Stevens semasa perlawanan suku-akhir Piala Dunia di Mexico City. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Amaran ribut hujan tertinggi dikeluarkan

    BEIJING, 23 APRIL - Lebih 100,000 orang telah dipindahkan akibat hujan lebat dan banjir yang membawa maut di selatan China, dengan kerajaan mengeluarkan amaran...